Imran Bard Sambung Pengajian Dalam Bidang Kulinari Di Toronto, Buktikan ‘Influencer’ Pun Boleh Utamakan Pendidikan

Share

Pempengaruh terkenal, Imran Bard, kini mencuri perhatian ramai selepas mengumumkan bahawa dia akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari di Toronto, Kanada.

Langkah berani ini bukan sahaja mengagumkan pengikutnya, malah turut mendapat pujian daripada netizen yang kagum dengan kesungguhan terhadap masa depannya.

Menjengah ke media sosial, ramai meluahkan rasa bangga dengan keputusan Imran yang tetap mementingkan ilmu dan pendidikan

, walaupun sudah berjaya sebagai pencipta kandungan.

“Aku bukan orang yang minat influencer, tapi tahu Imran sebab dia ada saluran YouTube masak-masak. Daripada keluarga biasa, SPM biasa-biasa, kereta pun pakai Kancil.

“Tapi dia ada azam tinggi nak berjaya dan sambung belajar dalam bidang yang dia minat iaitu kulinari,” tulis seorang netizen.

Selain itu, Imran turut menjadi contoh terbaik kepada pempengaruh lain untuk tidak memandang ringan soal pendidikan.

“Jadilah seperti Imran Bard. Sehebat mana pun jadi influencer, jangan rasa pendidikan itu tidak penting. Tak pernah dengar dia menunggang isu SPM boleh kaya. Impian nak jadi Celebrity Chef bukan sekadar tahu masak.

“Dia fikir jauh, sebab itu dia kumpul duit perlahan-lahan untuk sambung belajar. Konten dia lawak tapi berisi,” kongsi beberapa pengguna media sosial.

Rata-rata netizen juga tidak lupa mendoakan kejayaan Imran sepanjang pengajiannya di luar negara, berharap segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil.

Tidak ketinggalan, rakan karib Imran, Azfar Heri, turut menunjukkan sokongan apabila menghadiahkan Imran sebuah beg mewah sebagai tanda meraikan langkah besar sahabatnya itu.

Menerusi TikTok, Azfar berkongsi bahawa hasrat untuk menghadiahkan Imran sudah lama disimpannya, dan ia adalah simbol penghargaan atas usaha Imran melanjutkan pelajaran.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath