Berita

“Ikhlas Kerana Allah, Bukan Populariti” -Zizan Razak

Share

Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak bukan saja dikenali dengan lawak spontan serta lakonannya yang mantap, malah beliau juga cukup sinonim dengan sifat dermawan.

Menurut Zizan, setiap kebaikan yang dilakukan bukanlah untuk mencari perhatian mahupun pujian, sebaliknya kerana ikhlas ingin membantu.

“Saya buat kerana Allah, apa yang saya dapat hari ini pun bukan kerana saya seorang, tapi sebab doa orang ramai termasuk ibu bapa dan peminat.

“Saya percaya apa yang saya dapat bukan milik saya seorang, jadi saya kongsi ketika orang lain dalam keadaan susah,” katanya kepada

Remaja.

Tambahnya lagi, niatnya bukan untuk berbangga, sebaliknya memberi inspirasi buat orang ramai.

“Perkara ini kalau boleh saya suka sorok, tetapi saya fikir ada baik Allah buka cerita ini bukan untuk saya rasa bangga, tapi untuk beri inspirasi kepada orang.

“Kadang-kadang dalam RM10 yang kita ada, RM3 sahaja milik kita, selebihnya RM7 itu milik orang lain.

“Jangan risau, kalau kita ikhlas akan ada rezeki lain yang sampai. Kita buat baik bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri,” ujarnya.

Zizan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years yang berlangsung di TGV Suria KLCC baru-baru ini.

Berhati-Hati Dengan Scammer

Walaupun terkenal dengan sikap pemurah, Zizan mengakui dia juga pernah menjadi sasaran individu yang cuba mengambil kesempatan dengan menipu demi meraih simpati.

“Kes yang menipu atau ‘scam’ banyak, melibatkan ribuan ringgit. Kalau sudah terbukti dia susah dan saya mampu, saya beri seikhlas mungkin. Tapi kalau was-was, saya pun macam dekat tengah-tengah.

“Ada yang saya pernah bagi, kemudian selepas itu dia minta lagi dengan beritahu untuk emak dia, kalau tidak kena potong kaki dan sebagainya.

“Saya kesian, tapi lepas dapat dia datang lagi, jadi mungkin itu ‘scam’,” jelasnya.

Walaupun begitu, Zizan tetap cuba membantu sedaya yang termampu kerana bersyukur masih dikurniakan rezeki untuk dikongsi.

Contoh Terbaik

Terdahulu, nama Zizan tular di media sosial selepas individu yang menerima bantuannya mendedahkan kebaikan pelakon itu walaupun beliau sendiri tidak pernah menghebahkan amal kebajikan yang dilakukan.

Bahkan, rakan artisnya Amir Raja Lawak juga mendedahkan bahawa Zizan merupakan antara insan yang menghulurkan bantuan kepadanya ketika susah.

Tidak hairanlah apabila netizen menyifatkan Zizan sebagai contoh terbaik selebriti tanah air yang wajar dijadikan inspirasi buat semua.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath