
Bintang K-Pop terkenal, BIGBANG baru-baru ini kembali mencuri perhatian apabila mereka membuat kemunculan di pentas Coachella, sekaligus menjadi antara momen penting menjelang sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan legenda tersebut.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh seorang penulis media antarabangsa, beliau mendakwa bahawa BIGBANG merupakan satu-satunya kumpulan K-Pop yang pernah menolak permintaan wawancara daripadanya walaupun sering berurusan dengan artis K-Pop lain. Malah, beliau turut menyebut bahawa G-Dragon juga pernah menolak permintaan temu bual berasingan yang dihantar atas nama sebuah media terkenal di Amerika Syarikat.
Hal tersebut bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat di media sosial yang rata-ratanya menyokong tindakan BIGBANG, sehingga ramai berpendapat kumpulan itu tidak terlalu mengejar pengiktirafan daripada media atau industri luar.
Pada masa yang sama, ada yang melihat pendekatan tersebut sebagai bukti bahawa BIGBANG kekal konsisten dengan identiti serta hala tuju seni mereka sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada validasi daripada pihak luar dalam industri hiburan global.
Walaupun menerima pelbagai spekulasi, ramai berpendapat tindakan BIGBANG menolak sesi wawancara tersebut tidak memberi kesan kepada populariti mereka, sebaliknya menunjukkan keyakinan terhadap hala tuju seni yang dibawa. Perkara ini juga membuatkan nama BIGBANG terus menjadi bualan hangat menjelang penampilan besar mereka di Coachella.
Kemunculan BIGBANG di Coachella 2026 juga menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan apabila mereka tampil di pentas Outdoor Theatre pada Weekend 1. Persembahan tersebut turut mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat global dengan tanda pagar seperti #BIGBANGisBack dan #BANGCHELLA yang digunakan secara meluas di media sosial.
Sepanjang persembahan, BIGBANG membawakan pelbagai lagu hit yang pernah menaikkan nama mereka seperti ‘BANG BANG BANG’, ‘Fantastic Baby’, ‘Sober’, ‘Lies’, ‘Haru Haru’, ‘Good Boy’ dan ‘We Like to Party’ yang berjaya menghidupkan suasana festival dengan sorakan penonton yang luar biasa.
Di samping itu, antara momen paling mencuri perhatian adalah ketika lagu encore ‘Still Life’ dipersembahkan, apabila bahagian vokal T.O.P masih dikekalkan, sekaligus mencetuskan suasana emosional dalam kalangan peminat yang hadir.
Untuk perkembangan terkini, BIGBANG dijangka akan kembali membuat persembahan di Coachella pada 19 April ini untuk Weekend seterusnya, sekaligus membuatkan peminat tidak sabar menantikan kejutan dan momen istimewa yang bakal dibawakan oleh kumpulan legenda itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.