Ifa Raziah Buktikan Usia Bukan Penghalang, Raih Ijazah TVET Di USIM Pada Usia 50 Tahun!

Share

Baru-baru ini, penyanyi dan pengacara terkenal, Ifa Raziah telah mencuri perhatian peminat di media sosial apabila berjaya berjaya menggenggam segulung ijazah pada usia 50 tahun selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Memetik laporan media tempatan, Ifa atau pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha meluahkan rasa syukur setelah menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung pada Ahad, semalam.

Menurut beliau, pencapaian tersebut menjadi lambang ketabahan serta keazaman dirinya untuk terus menuntut ilmu tanpa berputus asa meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.

“Alhamdulillah, hari ini saya secara rasmi bergelar graduan apabila menerima Ijazah Keusahawanan TVET Malaysia di USIM,” katanya.

“Terima kasih atas penghargaan ini. Ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberi yang terbaik dan mengangkat industri ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Ifa turut menjelaskan bahawa bidang keusahawanan TVET sangat dekat dengan jiwanya kerana selari dengan perjalanan hidup serta pengalaman beliau dalam dunia perniagaan.

Di samping itu, tempoh pengajian yang dilalui mengambil masa lebih lama kerana perlu diseimbangkan dengan komitmen kerjaya selain berdepan pelbagai kritikan yang diterimanya sepanjang perjalanan tersebut.

“Kritikan yang membakar semangat saya, untuk sambung belajar. Dari situ datang keinginan untuk menambah ilmu dan membuktikan kepada diri sendiri bahawa usia, status atau populariti bukan penghalang untuk terus berkembang dan memperbaiki diri,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon drama bersiri terbaru ‘Impiana: Karma’ ini juga sempat menitipkan pesanan kepada masyarakat bahawa usia bukanlah penghalang untuk menuntut ilmu dan pelajaran merupakan aset penting sebagai bekalan menghadapi kehidupan serta kerjaya pada masa hadapan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE