
Bukan semua hobi kekal sebagai aktiviti mengisi masa lapang. Bagi Syasya Aina, minat beliau terhadap solekan yang bermula ketika zaman universiti akhirnya menjadi titik tolak kepada pembinaan kerjaya dalam industri kecantikan dan dunia korporat.
Kini, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk menjadi Pegawai Perhubungan Awam di sebuah jenama kosmetik terkenal, Wardah Beauty Malaysia, selain aktif sebagai jurusolek, pendidik solekan dan pencipta kandungan digital.
Ketika bergelar pelajar UiTM, Syasya aktif dalam pelbagai aktiviti kampus termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam kesibukan tersebut, beliau turut gemar mendandan rakan-rakan untuk majlis dan program universiti.
“Saya memang suka makeup orang, terutamanya apabila nampak perubahan keyakinan diri mereka selepas disolek. Dari situ saya mula serius untuk belajar memperbaiki teknik dengan belajar perkara yang betul,” katanya.
Minat itu kemudiannya berkembang menjadi perkhidmatan solekan sambilan apabila Syasya mula serius meningkatkan kemahirannya dengan menyertai seminar, latihan dan kelas bersama penggiat industri. Pengalaman tersebut membolehkannya mempelajari teknik solekan terkini, di samping memahami keperluan pelanggan dengan lebih mendalam, sekaligus membantu dirinya berkembang dalam bidang kecantikan.
Gabungan kemahiran komunikasi dan kecantikan membuka peluang lebih besar buat Syasya apabila beliau menyertai Wardah Beauty cawangan Malaysia. Dalam peranan sebagai Pegawai Perhubungan Awam, beliau terlibat dalam pelancaran produk, strategi PR, hubungan media, pengurusan KOL serta influencer dan pelaksanaan kempen jenama.
Menurut Syasya, dengan berkat latar belakang Perhubungan Awam banyak membantu perkembangan kerjayanya, khususnya dari segi komunikasi, pembinaan jenama dan pengurusan hubungan dengan pelbagai pihak. Ilmu tersebut turut membolehkannya melihat industri kecantikan bukan hanya dari sudut produk, tetapi juga aspek branding dan pemasaran.
Dalam pada itu, di luar kerjaya korporat, Syasya terus mengembangkan kemahirannya sebagai pencipta kandungan dalam bidang kecantikan, fesyen dan gaya hidup. Beliau turut menjana pendapatan menerusi ulasan berbayar, kerjasama bersama pelbagai jenama, kandungan jana pengguna (UGC) dan program gabungan TikTok ‘affiliate’, selain mengendalikan kelas solekan yang telah disertai lebih 200 pelajar.
Pengalaman beliau itu turut membawanya ke platform pendidikan apabila dijemput berkongsi mengenai personal branding, grooming, content creation dan kerjaya dalam industri kecantikan di UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain terlibat dalam program ‘Youth Grooming: Brain with Beauty’.
Perjalanan Syasya membuktikan bahawa sesuatu kerjaya boleh bermula daripada minat yang sederhana, asalkan ianya disertai ilmu, konsistensi dan keberanian untuk berkembang. Daripada menyolek rakan-rakan di universiti, beliau kini berjaya mengubah kemahiran tersebut menjadi kerjaya serta beberapa sumber pendapatan.
Kisahnya juga menjadi inspirasi bahawa anak muda tidak perlu bergantung kepada satu laluan sahaja. Dengan usaha memanfaatkan kemahiran, membina personal branding dan berani mencuba peluang baharu, sebuah hobi mampu berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dan bernilai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.