Berita

Hidup Serba Kekurangan Tanpa TV & Sofa, Aliff Syukri Hulur Bantuan Lebih RM15,000 Buat Keluarga Norish Karman

Share

Prihatin dengan nasib golongan memerlukan, usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri sekali lagi tampil menghulurkan bantuan apabila memberi sumbangan wang tunai lebih RM15,000 kepada keluarga pelakon Norish Karman.

Sumbangan tersebut difahamkan hasil jualan produknya menerusi siaran langsung yang berlangsung pada malam tadi.

Anggap Sebagai ‘Gaji’ Untuk Keluarga Norish

Menurut Aliff, wang yang diberikan itu dianggap sebagai gaji buat Norish dan anak-anaknya yang turut membantu melariskan jualan produk sepanjang sesi siaran langsung tersebut.

“Ini adalah gaji Norish dan anak-anak yang bantu melariskan jualan produk saya hari ini.

“Saya nak tegaskan, mereka hadir bukan sebab meminta-minta tetapi ingin beraya dan memohon diberikan kerja sama ada boleh menjadi hos ‘live’ TikTok atau staf di pejabat.

“Ini rezeki keluarga Norish. Saya beri ini sebab yakin Allah SWT menjadikan saya perantara untuk membantu meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya.

Sebak Lihat Keadaan Hidup Keluarga Norish

Dalam pada itu, Aliff turut mengakui tidak dapat menahan rasa sebak melihat keadaan kehidupan Norish bersama lapan orang anaknya.

“Terima kasih kepada kalian yang menonton dan memberi produk saya.

“Saya percaya, Allah menjadikan saya senagai perantara untuk membantu dan meringankan beban hidup keluarga Norish.

“Saya sedih melihat keluarga Norish kerana mereka sangat gembira dan saling menyayangi walaupun realitinya hidup mereka susah.

“Manda datang pada saya beritahu tak mahu minta walau RM5 sebab masih ada kudrat dan memohon jadikan mereka sekeluarga hos live TikTok,” katanya lagi.

Ucapan Syukur & Terima Kasih Norish

Sementara itu, Norish yang tidak dapat menahan sebak dengan jumlah sumbangan diterima meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Aliff serta isterinya, Datin Shahida.

“Alhamdulillah, terima kasih datuk, datin dan semua rakyat Malaysia yang pemurah.

“Anggaplah ini satu perkongsian, semoga satu hari nanti kita boleh menjadi individu seperti Datuk Aliff yang sentiasa mebantu orang lain,” ujarnya.

Manda Mohon Peluang Pekerjaan

Dalam masa sama, anak sulung Norish iaitu Hanyz Amanda atau Manda turut berharap diberikan peluang pekerjaan bagi membantu menyara keluarga mereka.

“Berkali-kali saya menangis malam ini. Terkejut dengan jumlah sumbangan sebanyak ini.

“Datuk, panggil kami kerja, saya memang nak sangat bekerja. Kalau menjadi cef pun saya okey, nak memasak,” jelasnya.

Sebelum Ini Tular Isu Kesihatan Norish

Terdahulu, Manda mengejutkan ramai apabila berkongsi mengenai tahap kesihatan ibunya yang semakin merosot sehingga perlu dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan.

Malah, dia juga difahamkan membuka tabung secara dalam talian bagi mendapatkan sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath