Berita

Hebat! Graduan OKU UTM Ini Raih Beberapa Semester 4.00 & Tamat Dengan PNGK 3.92!

Share

Ketabahan seorang mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini sekali lagi membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah tembok untuk seseorang terus melangkah jauh.

Di sebalik cabaran hidup yang membelenggu sejak lahir, Syed Muhammad Syd Hashim, 24, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) dari Fakulti Pengurusan dengan keputusan luar biasa, memperoleh PNGK 3.92. Malah, beliau turut mencatat keputusan 4.00 untuk beberapa semester.

Ia sesuatu yang cukup mengagumkan memandangkan beliau berdepan kondisi Arthrogryposis Multiplex Congenital (AMC), iaitu kecacatan yang mengehadkan pergerakan sendi sehingga tugasan asas seperti menulis, makan dan mengurus diri memerlukan bantuan.

Cemerlang Sejak Sekolah

Anak Johor dan bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (English College) ini bukanlah asing dengan gelaran pelajar cemerlang. Sejak di bangku sekolah lagi, Syed sudah membuktikan kemampuan dirinya apabila menerima

anugerah pelajar terbaik SPM Keperluan Khas serta pelajar terbaik STPM Keperluan Khassebelum melangkah ke UTM.

Namun hakikatnya, jalan yang dilaluinya bukan semudah yang dilihat dari luar.

Syed mengakui bahawa pengajiannya di UTM adalah perjalanan penuh getir, namun pada masa sama menjadi ruang yang sangat besar untuk mengenal diri, mengutip hikmah dan membina ketahanan mental.

“Pergerakan saya sangat terhad… tapi semangat itu tak pernah hilang.”

Berkongsi pengalaman, Syed menyatakan dirinya sentiasa teruja apabila dapat menghadiri majlis rasmi universiti atau tugasan penting meskipun hatinya sering berdebar.

“Pergerakan saya memang sangat terhad sehingga saya perlukan bantuan ibu bapa untuk urusan harian seperti makan dan berpakaian. Tapi semangat itu tak pernah hilang. Saya masih boleh buat semua tugasan akademik, terutama yang guna komputer, tanpa masalah.

“Sejak kecil lagi saya dibiasakan untuk berdikari, jadi saya memang tak selesa bergantung pada orang lain. Semua tugasan universiti, termasuk penulisan dan kerja kursus, saya buat sendiri tanpa bantuan keluarga,” ujar beliau.

Pandemik, Pengajian Online & Cabaran Sebagai Pelajar OKU

Detik awal pengajian Syed menjadi lebih mencabar apabila semester pertama dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Tanpa dapat berjumpa rakan atau pensyarah secara bersemuka, tugas menjelaskan keperluannya sebagai pelajar OKU menjadi jauh lebih rumit.

Fakulti tidak dapat menilai keadaannya secara fizikal, menyebabkan urusan penting seperti pengaturan jurutulis dan masa tambahan peperiksaan menjadi cabaran besar.

Namun beliau bersyukur kerana usaha keras pihak UTM benar-benar memudahkannya.

Fakulti menyediakan jurutulis, menambah masa peperiksaan sebanyak 15 peratus dan memberi meja khas mengikut kesesuaian fizikalnya. Sokongan itu membuatkan perjalanan akademiknya lebih lancar dan memberi keyakinan bahawa dirinya berada dalam komuniti yang memahami keperluan pelajar OKU.

Tetap Ke Kelas, Tetap Aktif Seperti Pelajar Lain

Walaupun memiliki kekangan fizikal, Syed tetap hadir ke kelas seperti pelajar biasa. Beliau bergerak di kampus menggunakan kerusi roda automatik, manakala kerusi roda manual digunakan apabila meneroka kawasan yang belum pasti sesuai.

Ayahnya menghantar dan mengambilnya setiap hari kerana jarak rumah yang dekat, manakala ibunya mengurus penjagaan asas. Abangnya turut memainkan peranan penting dalam membantu beliau bergerak pada situasi tertentu.

“Jangan malu dengan keadaan diri.” – Pesan Syed kepada pelajar OKU

Dalam mesej khas buat pelajar OKU lain, Syed menekankan agar mereka tidak sesekali merasa rendah diri atau malu dengan keadaan fizikal.

Baginya, persepsi masyarakat memang sukar dijangka, tetapi ia tidak wajar menjadi penghalang untuk menyerlahkan kemampuan sebenar.

Kini, Syed sedang memohon biasiswa bagi menyambung pengajian peringkat sarjana di luar negara. Beliau telah menerima tiga tawaran daripada universiti di Australia, dan akan memulakan pengajian sebaik sahaja memperoleh pembiayaan sesuai dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UTM News

Published by
Fath