Kereta

Harga RON95 Diturunkan Kepada RM1.99 Seliter, Pastikan Cip MyKad Anda Berfungsi

Share

Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan rakyat agar segera menyemak dan memastikan cip MyKad berfungsi bagi membolehkan mereka menikmati harga baharu RM1.99 seliter melalui skim tersebut susulan kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada hujung bulan ini.

Menerusi sebuah perkongsian video di Facebook miliknya, Datuk Seri Saifuddin berkata pengesahan identiti menggunakan MyKad merupakan syarat utama semasa pengisian minyak di stesen.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau. Boleh terus ke mana-mana pejabat atau Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. InsyaAllah, siap hari yang sama. Mudah dan cepat. Jangan tunggu saat akhir,” tulisnya.

Kredit foto: The Star

Dalam pada itu, inisiatif ini memperlihatkan usaha kerajaan dalam memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil dan berfokus kepada rakyat Malaysia. Pelaksanaan ini sekaligus menjadi bukti kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji yang telah disuarakan sebelum ini.

“Walaupun ambil masa sikit, tapi Alhamdulillah beliau tetap tunaikan janji sebab InsyaAllah beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. A man of his words dan InsyaAllah, setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia,” jelas Datuk Seri Saifuddin lagi dalam perkongsian yang sama.

Sementara itu, bagi golongan belia, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter pastinya memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian, khususnya dalam urusan ulang-alik ke tempat kerja, kolej mahupun aktiviti lain. Penjimatan ini juga merupakan peluang untuk mengurangkan beban kos sara hidup.

Justeru itu, langkah awal perlu diambil dengan melakukan semakan MyKad. Proses ini mudah dan boleh diselesaikan pada hari yang sama sekiranya terdapat kerosakan cip. Tindakan segera akan memastikan rakyat tidak terlepas peluang menikmati subsidi bahan api tersebut.

Sekadar info, pelaksanaan subsidi bersasar ini bukan sahaja menyentuh aspek penurunan harga petrol, malah turut menekankan kepentingan penjagaan dokumen rasmi seperti MyKad yang digunakan dalam pelbagai urusan harian.

Secara keseluruhannya, subsidi bersasar RON95 ini membuktikan keazaman kerajaan untuk terus menjaga kebajikan rakyat serta meringankan beban ekonomi. Rakyat turut disaran mengambil perhatian segera terhadap arahan ini agar manfaat subsidi dapat dinikmati sepenuhnya tanpa sebarang halangan teknikal.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE