Harga emas dunia rekod baharu sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencecah paras tertinggi sepanjang masa hari ini, sekali gus mencatatkan harga RM645.85 segram di pasaran tempatan. Lonjakan ini menjadikan emas antara aset paling berprestasi tinggi ketika ketidaktentuan ekonomi global masih berlarutan.
Di peringkat antarabangsa, harga spot emas meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada AS$4,486.34 satu auns selepas mencatat paras rekod AS$4,497.55 lebih awal dalam sesi dagangan.
Sementara itu, niaga hadapan emas Amerika Syarikat bagi penghantaran Februari turut melonjak 1.1 peratus kepada AS$4,518.90 satu auns, menghampiri paras psikologi AS$4,500 yang menjadi penanda aras penting pasaran.
Faktor Global Dorong Kenaikan Harga
Kenaikan harga emas dunia rekod baharu ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) yang berterusan serta ketegangan geopolitik global.
Dolar AS kini berada dalam trend penurunan untuk hari kedua berturut-turut dan dijangka mencatat kejatuhan tahunan terbesar sejak 2017. Keadaan ini menjadikan emas lebih menarik sebagai instrumen perlindungan nilai berbanding mata wang.
Ads
Selain itu, jangkaan terhadap dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih longgar atau bersifat dovish turut menyokong kenaikan harga emas. Pasaran kini mengambil kira kemungkinan dua pemotongan kadar faedah pada tahun 2026 susulan spekulasi pelantikan pengerusi Fed baharu lebih awal daripada kebiasaan.
Menurut penganalisis kumpulan perbankan Swissquote, Carlo Alberto De Casa, kombinasi ketidakpastian pasaran, ketegangan geopolitik serta pembelian emas secara berterusan oleh bank-bank pusat dunia telah mengekalkan minat pelabur terhadap emas pada tahap yang sangat tinggi.
emas 10
Ketegangan Geopolitik Tingkat Permintaan Aset Selamat
Dalam perkembangan geopolitik global, tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengarahkan sekatan terhadap semua kapal tangki minyak dari Venezuela serta tidak menolak kemungkinan konflik ketenteraan, telah meningkatkan kebimbangan pasaran.
Situasi ini mendorong pelabur untuk beralih kepada emas sebagai aset selamat ketika risiko geopolitik meningkat. Secara keseluruhan, harga emas dunia rekod baharu ini mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap emas sebagai pelindung nilai utama.
Ads
Sepanjang tahun ini, harga jongkong emas telah melonjak lebih 70 peratus, disokong oleh kadar faedah yang lebih rendah, ketidaktentuan ekonomi global serta permintaan berterusan daripada institusi kewangan dan bank pusat.
Perak Turut Catat Prestasi Memberangsangkan
Selain emas, logam berharga lain seperti perak turut mencatatkan prestasi luar biasa. Harga spot perak meningkat 0.9 peratus kepada AS$69.63 satu auns selepas menyentuh paras tertinggi rekod AS$69.98.
Sejak awal tahun, harga perak melonjak sehingga 141 peratus, disokong oleh kekurangan bekalan global, permintaan industri yang kukuh serta peningkatan aliran masuk pelaburan.
Penganalisis penyelidikan Pepperstone, Ahmad Assiri, menjelaskan bahawa paras AS$4,500 bagi emas dan AS$70 bagi perak bukan sekadar had harga semata-mata, sebaliknya menjadi titik rujukan penting dalam aliran pasaran semasa.
Situasi harga emas dunia rekod baharu ini turut menjadi peringatan kepada golongan muda tentang kepentingan memahami asas kewangan dan pelaburan. Walaupun harga emas kini berada pada paras yang tinggi, ia masih relevan sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang.
Emas terus dilihat sebagai aset perlindungan nilai yang stabil, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, inflasi dan turun naik pasaran kewangan.
Kesimpulannya, rekod baharu harga emas ini bukan sahaja mencerminkan dinamika pasaran dunia, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk lebih peka terhadap perancangan kewangan dan kepentingan mempelbagaikan aset bagi jangka masa panjang.
Selepas 12 tahun menanti, akhirnya kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, dibuka semula untuk siasatan. Berita ini disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, kertas siasatan kes berprofil tinggi ini sebenarnya telah lengkap sejak 2013. Namun ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengklasifikasikan ia sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Selepas keluarga Allahyarham menyerahkan surat rasmi kepada Bukit Aman baru-baru ini, pihak polis membuat keputusan untuk membuka semula kertas siasatan demi memastikan setiap aspek diperhalusi semula.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. – Foto BERNAMA
Kronologi Kes Tragis
Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, ditemui tergantung di dalam tandas asrama pada Disember 2013. Mayatnya dijumpai oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk.
Pada awalnya, hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut, tanpa kaitan dengan unsur jenayah. Namun, tiga tahun kemudian, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 mengesahkan bahawa Wan Ahmad Faris sebenarnya dibunuh oleh individu tidak dikenali. Keputusan ini membuka banyak persoalan yang sehingga kini masih belum terjawab.
Harapan Keluarga & Tuntutan Keadilan
Bagi keluarga Allahyarham, perkembangan terbaru ini memberi sedikit kelegaan selepas lebih satu dekad menunggu. Mereka percaya masih ada ruang untuk kebenaran dibongkar dan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Masyarakat, khususnya golongan muda, turut menyuarakan simpati dan berharap siasatan kali ini dilakukan secara telus. Kes ini menjadi simbol bahawa keadilan tidak boleh dikuburkan dengan masa, sebaliknya perlu ditegakkan biarpun mengambil masa bertahun-tahun.
Pengajaran Untuk Kita Semua
Kisah tragis Allahyarham Wan Ahmad Faris mengingatkan kita tentang pentingnya sistem keadilan yang adil dan menyeluruh. Setiap nyawa itu berharga, dan setiap keluarga berhak mengetahui kebenaran di sebalik kehilangan insan tersayang.
Bagi generasi muda, kes ini wajar dijadikan iktibar. Ia bukan sekadar berita lama yang dibuka semula, tetapi kisah tentang perjuangan menuntut keadilan, ketabahan sebuah keluarga, serta harapan bahawa kebenaran akhirnya akan berpihak kepada yang benar.
Peperiksaan SPM 2025 bermula hari ini mengikut jadual di seluruh negara, termasuk di negeri yang sedang berdepan situasi banjir, selepas pelbagai langkah kesiapsiagaan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Musim peperiksaan ini menjadi detik paling penting buat pelajar tingkatan lima, menguji bukan sahaja ilmu tetapi juga ketahanan emosi mereka.
Seramai 413,372 calon memulakan peperiksaan bertulis dengan kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, sekali gus menandakan permulaan rasmi peperiksaan utama yang ditunggu sejak awal tahun lagi. Para calon dilihat hadir seawal pagi dengan semangat yang tinggi meskipun berdepan ketidaktentuan cuaca.
CALON SPM mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan bertulis SPM 2025 di SMK Kiaramas, Kuala Lumpur. FOTO Raihana Mansor
Persiapan Awal Demi Peperiksaan SPM 2025
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata walaupun peperiksaan kembali diadakan pada penghujung tahun ketika musim tengkujuh, persiapan rapi telah dibuat untuk memastikan kelancaran peperiksaan.
“Alhamdulillah, hari ini bermula peperiksaan bertulis SPM 2025. Kita kembali kepada jadual asal seperti zaman dahulu walaupun berhadapan musim tengkujuh,” katanya ketika meninjau hari pertama peperiksaan di SMK Putrajaya Presint 11(1).
Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Ops Payung & Pelan Kontingensi Bantu Calon
KPM mengaktifkan penyelarasan melalui Ops Payung bersama pelbagai agensi keselamatan termasuk NADMA bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada calon dan petugas peperiksaan yang terjejas akibat banjir.
Semua Pengarah Pendidikan Negeri turut mengesahkan bahawa peperiksaan berjalan seperti dijadualkan berdasarkan laporan yang diterima seawal jam 6.30 pagi.
Selain itu, simulasi pengurusan peperiksaan dalam situasi banjir pernah dijalankan di Kuala Terengganu pada September lalu. Simulasi tersebut bertujuan mengenal pasti risiko sebenar, menguji persediaan pusat peperiksaan berisiko serta memastikan keselamatan calon.
KPM juga bergantung kepada laporan cuaca harian daripada MetMalaysia untuk menyelaras penghantaran kertas soalan, pergerakan calon serta menjamin keselamatan guru pengawas di lokasi berisiko.
Profil Calon Peperiksaan SPM 2025
Daripada lebih 413 ribu calon tersebut:
358,817 calon (87%) dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
8,051 calon (1.9%) dari sekolah agensi kerajaan selain KPM seperti MRSM, Maktab Tentera Diraja dan Sekolah Perantis Tentera.
6,676 calon (1.6%) dari sekolah menengah agama negeri.
13,836 calon (3.3%) dari sekolah swasta berdaftar.
23,741 calon (5.7%) calon persendirian.
2,251 calon (0.5%) dari Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Semangat Pelajar Tetap Kental
Walaupun ada calon berada di kawasan banjir dan terpaksa berpindah ke pusat peperiksaan alternatif, semangat mereka tetap tinggi. Ada yang bangun lebih awal untuk bergerak melalui laluan yang lebih selamat, dan ada yang sempat mengulang kaji dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Semua usaha itu dilakukan demi masa depan yang lebih cerah.
Semangat inilah yang sering menjadi kekuatan calon SPM setiap tahun walaupun diuji dengan cabaran, tekad terus mendorong mereka melangkah ke dewan peperiksaan. Guru-guru turut memainkan peranan besar memberikan sokongan moral serta memastikan semua calon hadir dalam keadaan bersedia.
Ucapan Semangat Buat Calon Peperiksaan SPM 2025
Majalah Remaja mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan kepada semua calon SPM 2025. Teruskan fokus, jaga kesihatan, dan percayalah pada usaha sendiri. Setiap langkah kecil anda hari ini menentukan masa depan yang lebih luas dan cerah.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal kembali menjadi perhatian apabila Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perkara itu perlu disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
Menurut beliau, tempoh maksimum 10 tahun atau dua penggal sudah memadai untuk seseorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan serta dasar utama negara sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.
Apa yang lebih mencuri perhatian, Anwar turut menegaskan bahawa cadangan tersebut akan bermula dengan dirinya sendiri.
“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” ujarnya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ini dilihat ramai sebagai antara agenda reformasi institusi yang mampu memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.
Sementara itu, Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dilaporkan berkata RUU berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menjawab persoalan mengenai dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi.
Tegas beliau, prinsip kerajaan kekal konsisten dalam menangani sebarang isu tatakelola tanpa memilih bulu.
“Apa pun salah laku, ada dakwaan, kita harus konsisten. Jangan kita pilih, sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka, kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya.
“Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan ya, sama ada kepada kerajaan, kepada saya, kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur,” katanya.
Jika RUU ini berjaya diluluskan, ia bakal menjadi satu langkah signifikan dalam landskap politik negara, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembaharuan institusi dan amalan demokrasi yang lebih matang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!