Hiburan

Eun-jung T-ARA Sah Bergelar Isteri Pada Usia 37 Tahun!

Share

Pelakon dan ahli kumpulan K-Pop, Ham Eun-jung T-ARA, kini rasmi bergelar isteri selepas melangsungkan majlis perkahwinan dengan pengarah terkenal, Kim Byung-woo pada 30 November lalu. Majlis yang diadakan secara tertutup di sebuah lokasi eksklusif di Seoul itu dihadiri keluarga, rakan terdekat serta beberapa selebriti ternama industri hiburan Korea.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram stylist terkenal, Kim Woo-ri, memuat naik beberapa momen eksklusif menerusi akaun peribadinya. Beliau menunjukkan sebuah video Eun-jung yang kelihatan anggun dalam gaun pengantin putih potongan off-shoulder, sambil menulis, “Eun-jung akhirnya melangkah pergi. Eunjung, saya sentiasa menyokong kamu. Semoga hidup kamu bahagia.”

Dalam pada itu, video tersebut menarik perhatian para peminat kerana memaparkan suasana intim dan penuh emosi menjelang bermulanya majlis. Selain itu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon terkenal Ha Jung-woo, yang memberikan ucapan khas sebagai tanda hubungan rapatnya dengan Kim Byung-woo, setelah beberapa kali bekerjasama dalam filem ‘The Terror Live’ dan ‘PMC: The Bunker’. 

Di samping itu, pada sesi resepsi bahagian kedua, Eun-jung mencipta suasana penuh romantis apabila menyanyikan sendiri lagu Lee Sun-hee berjudul ‘Meet You Among You’ sebagai persembahan istimewa untuk suaminya. Persembahan itu menjadi antara detik paling menyentuh hati sepanjang majlis.

Terdahulu, dalam satu perkongsian Eun-jung pada bulan lalu, beliau turut berkongsi hasrat untuk memulakan kehidupan baharu selepas pemergian ibunya, sambil menulis, “Selepas saya kehilangan ibu setahun yang lalu, saya terasa ingin membina sebuah keluarga yang cerah dan penuh kehangatan seperti beliau”.

“Saya memutuskan untuk memulakan hidup baru bersama seseorang yang benar-benar memahami dan menghormati kerja saya lebih daripada sesiapa serta yang sentiasa berada di sisi ketika saya melalui saat sukar. Tolong doakan kami dengan penuh kasih, ujarnya lagi.

Sebelum tibanya hari bahagia itu, Eun-jung sempat meluahkan rasa gementarnya kepada para peminat di Instagram dengan menulis, “Esok akhirnya tiba, sekarang saya sangat gugup.”

Sekadar info, hubungan pasangan ini mula terjalin selepas diperkenalkan oleh kenalan industri filem. Walaupun timbul khabar angin mengenai kehamilan sebelum berkahwin, laporan rasmi menafikan perkara tersebut. Mereka juga memilih untuk menangguhkan bulan madu kerana komitmen kerja yang sedang berlangsung.

Eun-jung, yang memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak sebelum debut semula sebagai ahli T-ARA pada 2009, kini bersedia kembali ke layar kaca menerusi drama harian MBC ‘The First Man’ yang dijadualkan tayang Disember ini. Sementara itu, Kim Byung-woo pula memberi tumpuan kepada pelancaran filem Netflix terbarunya, ‘Flood/The Great Flood’ yang bakal menemui penonton dalam masa terdekat.

Sumber foto: Instagram Kim Woo-ri

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE