Berita

Greta Thunberg Dipukul & Diheret Tentera, Dakwa Sukarelawan Global Sumud Flotilla

Share

“Mereka melayannya seperti haiwan.” Itu antara kata-kata paling memilukan daripada peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang menyaksikan sendiri kekejaman tentera Zionis terhadap aktivis alam sekitar terkenal dunia, Greta Thunberg, ketika mereka ditahan dalam misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.

Greta Dipukul Tanpa Belas Ihsan

Menurut sukarelawan Malaysia, Hazwani Helmi, Greta bukan sekadar ditahan — tetapi turut dipukul dengan sangat kuat tanpa sebarang belas kasihan oleh tentera Israel. Malah, mereka turut menampal bendera Israel di wajahnya, seolah-olah mahu mempermalukan aktivis berusia 22 tahun itu di hadapan orang ramai.

Sukarelawan GSF berkongsi pengalaman melihat layanan tentera Israel terhadap Greta.

Hazwani yang tiba di Lapangan Terbang Istanbul selepas dibebaskan berkata, layanan terhadap Greta sangat berbeza daripada aktivis lain, seakan sengaja dijadikan “sasaran utama” kerana keberaniannya bersuara menentang penindasan di Gaza.

“Mereka Mengikatnya Pada Troli & Menyeretnya”

Menurut laporan Kosmo Online, Sukarelawan dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver, pula mendedahkan dia melihat sendiri kekejaman itu berlaku di depan mata.

“Saya melihat sendiri bagaimana mereka memukulnya. Mereka memasang bendera Israel pada wajahnya. Mereka mengikatnya pada troli dan menyeretnya. Mereka memukulnya sesuka hati di mana sahaja mereka mahu,” katanya dalam sesi temu bual bersama media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul semalam.

Menurut Windfield, Greta turut dibawa ke sebuah bilik tertutup, di mana Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir dilaporkan turut hadir ke ruang itu.

“Ben-Gvir masuk ke dalam bilik bersama dia (Greta). Kami hanya mampu mendengar jeritan. Ia sangat menakutkan,” katanya lagi.

Lebih 400 Aktivis Ditahan Dalam Misi Kemanusiaan

Untuk rekod, lebih 400 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari pelbagai negara ditahan oleh tentera Israel ketika cuba memecahkan ‘blokade laut’ yang sudah berkuat kuasa selama 17 tahun terhadap Gaza.

Konvoi tersebut membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza yang terperangkap dalam kepungan sejak sekian lama. Semua mereka kemudian dibawa ke penjara di Ashdod, Israel untuk proses penahanan.

Greta Thunberg yang merupakan individu terpenting di sebalik misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Simbol Keberanian Seorang Anak Muda Dunia

Greta Thunberg sebelum ini dikenali sebagai aktivis alam sekitar paling lantang memperjuangkan isu perubahan iklim. Namun keberaniannya berdiri di barisan hadapan misi kemanusiaan ke Gaza menjadikannya simbol keberanian dan solidariti anak muda dunia terhadap keadilan dan kemanusiaan.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Israel, dakwaan yang dibuat oleh saksi dan sukarelawan lain cukup untuk mencetuskan gelombang kemarahan global terhadap layanan tidak berperikemanusiaan itu.

Generasi Muda & Suara Keadilan

Insiden ini menjadi peringatan buat semua — bahawa perjuangan menegakkan kebenaran bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi seperti Greta, suara anak muda tetap mampu menggoncang dunia, walau di tengah kezaliman dan ketakutan.

BACA LAGI : “Dia Anak Autism Tapi Boleh Pikul Misi Besar” Ustaz Mad Kecil Kagum Keberanian Greta Thunberg, Titip Doa Hidayah

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana