
Dari sebuah pekan di Teluk Intan terus ke pentas dunia, itulah perjalanan luar biasa Balvinder Kaur Dhillon, pelajar kejuruteraan bioperubatan yang sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi Global Undergraduate Award for Engineering buat tahun kedua berturut-turut. Anugerah ini bukan biasa-biasa; ia dikenali sebagai ‘Junior Nobel Prize’, antara pengiktirafan paling prestij untuk pelajar universiti seluruh dunia.
Menurut laporan Asia Samachar, Balvinder yang baru menamatkan Ijazah Sarjana Muda MEng in Biomedical Engineering di Queen Mary University of London, berjaya mengatasi ribuan penyertaan global, 3,567 penyertaan daripada 352 universiti di 99 negara. Projeknya ditempatkan dalam 1% teratas dunia, menjadikannya salah seorang pemenang paling cemerlang dalam sejarah anugerah tersebut.
Lebih membanggakan, Balvinder kini menjadi satu-satunya individu yang memenangi kategori Kejuruteraan dua kali berturut-turut, dan hanya dua orang dalam sejarah Global Undergraduate Award pernah mencapai rekod seumpama itu.
Projeknya yang memenangi anugerah “Developing a Multimodal Deep Learning Pipeline for Automated Glioma Subregion Segmentation and 3D Reconstruction with Integrated Spatial Analysis for Clinical Insight” menggabungkan kecerdasan buatan, robotik dan teknologi kesihatan. Kajian ini dijalankan sepanjang tahun keempatnya di Queen Mary di bawah seliaan Prof Zion Tse dan Dr Hadi Sadati.
Walaupun bunyinya teknikal, impaknya sangat besar: projek ini membantu memperkemaskan proses pengimejan tumor otak (glioma), memberikan pandangan klinikal yang lebih tepat dan berpotensi menyokong rawatan masa depan.
Mengulas tentang rahsia kejayaannya, Balvinder menegaskan bahawa perjalanan ini penuh konsistensi dan kerja keras.
“Kemajuan jarang datang daripada kejayaan tiba-tiba. Ia datang daripada konsistensi, langkah kecil yang bertambah dari semasa ke semasa dan rasa ingin tahu untuk mencabar status quo.”
Kata-kata ini menjadi inspirasi kepada ramai remaja bahawa kejayaan besar bermula daripada perubahan kecil yang dilakukan setiap hari.
Kini melanjutkan pengajian sarjana dalam ‘Human and Biological Robotics’ di Imperial College London, Balvinder tetap tidak melupakan akar umbinya. Dia percaya lebih ramai bakat dalam komuniti tempatan termasuk komuniti Sikh di Malaysia mampu menyerlah sekiranya diberi peluang dan sokongan.
“Saya percaya terdapat peluang sebenar untuk membina lebih banyak inisiatif memupuk bakat, terutamanya dalam teknologi, kejuruteraan dan penjagaan kesihatan tidak kira peringkat umur.”
Kisah Balvinder membuktikan bahawa remaja dari mana-mana latar, termasuk pekan kecil seperti Teluk Intan, mampu berdiri megah di pentas global. Kejayaannya adalah simbol kegigihan, intelektual tinggi dan semangat ingin belajar yang tidak pernah padam.
Majalah Remaja mengangkat topi untuk Balvinder seorang ikon generasi baharu yang membuktikan Malaysia mampu melahirkan juara dunia.
Kisah seperti ini membuktikan bahawa apabila peluang, sokongan dan ketekunan bergabung, kejayaan luar biasa dapat dicapai. Semoga lebih ramai remaja Malaysia mengambil inspirasi daripada beliau untuk mencipta impak di pentas global.
BACA LAGI : Latihan Tinju Remaja: Kisah Inspirasi Dari Medan Yang Mengejutkan Dunia