Inpirasi

Girls Power! Pasukan Wanita Malaysia Airlines Ukir Sejarah Di Langit Malaysia

Share

Girls Power! Pasukan wanita Malaysia Airlines ukir sejarah di langit Malaysia apabila berjaya melaksanakan penerbangan istimewa yang dikendalikan sepenuhnya oleh wanita. Dari kaunter daftar masuk sehinggalah ke kokpit, penerbangan MH2610 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu ini menjadi simbol keberanian, kepakaran dan kepimpinan wanita dalam dunia penerbangan.

Penerbangan Istimewa ‘All Women’

Penerbangan MH2610 mencatat detik bersejarah apabila setiap posisi penting diisi oleh wanita – daripada ejen daftar masuk, jurutera penyelenggaraan, pegawai keselamatan, kru kabin hinggalah juruterbang. Ia membuktikan wanita mampu menggalas tugas besar dalam industri yang selama ini sinonim dengan dominasi lelaki.

Lebih membanggakan, Malaysia Aviation Group (MAG) berkongsi bahawa kini 36% tenaga kerja mereka terdiri daripada wanita. Angka ini mengatasi sasaran 25by2025 yang ditetapkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Jelas sekali, wanita bukan sekadar pelengkap tetapi juga menjadi tonggak utama kejayaan syarikat penerbangan negara.

Inspirasi Buat Generasi Muda

Kejayaan ini memberi mesej penting kepada golongan remaja, khususnya wanita, bahawa tiada bidang yang mustahil untuk diceburi. Sama ada ingin bergelar juruterbang, jurutera, pramugari atau pegawai keselamatan, peluang terbuka luas untuk mereka yang berani mencuba.

Menurut kenyataan Malaysia Airlines:

“Semoga penerbangan hari ini menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakan sekerja, tetapi juga generasi penerbangan akan datang untuk terus bermimpi besar dan berani menongkah cabaran.”

Ayat ini cukup kuat untuk dijadikan pembakar semangat kepada anak muda Malaysia agar terus mengejar cita-cita tanpa rasa rendah diri.

Rakyat Malaysia Bangga!

Momen bersejarah ini mendapat perhatian ramai di media sosial. Antara komen warganet yang tular:

  • “Benar-benar bangga melihat wanita berjaya merentas batasan dan terbang setinggi-tingginya!”

  • “Buat semua wanita di Malaysia Aviation Group dan di luar sana: kekuatan, bakat dan ketabahan anda sedang menulis semula sejarah di langit.”

Kata-kata ini menunjukkan bahawa kejayaan pasukan wanita Malaysia Airlines bukan sahaja mencipta rekod, tetapi juga meniup semangat kepada wanita lain di seluruh negara.

Penerbangan MH2610 adalah bukti bahawa wanita Malaysia mampu berdiri sama tinggi dalam bidang mencabar seperti penerbangan. Untuk remaja hari ini, kisah ini menjadi inspirasi bahawa dengan usaha, disiplin dan keyakinan diri, tiada impian yang mustahil.

Sumber: Malaysia AirlinesHarian Metro

Published by
Nana