
Pelakon meningkat naik, Sharmaine Alexander tidak ambil hati sekiranya ada yang menganggap dirinya ‘membazirkan’ usia 20-an kerana memilih untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran.
Bagi bekas peserta Dewi Remaja 2025 itu, setiap individu mempunyai perjalanan hidup serta keutamaan yang berbeza, terutama dalam menentukan perkara yang ingin dicapai ketika masih muda.
Menerusi perkongsian di Threads, anak jati negeri di bawah bayu itu menjelaskan bahawa keputusan untuk menyambung pengajian bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan kerana setiap orang mempunyai garis masa tersendiri dalam kehidupan.
“Apabila seseorang mengatakan saya membazir usia 20-an dengan belajar, kita semua akan berusia 30 tahun suatu hari nanti.
“Jadi, lebih baik menjadi seseorang yang berusia 30 tahun dengan memiliki ijazah doktor falsafah,” kongsinya menerusi Threads.
Dalam hantaran sama, Sharmaine turut berkongsi perjalanan akademiknya yang sudah bermula sejak beberapa tahun lalu.
Beliau terlebih dahulu mengikuti pengajian Asasi Undang-Undang pada 2018 sebelum meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kini, pelakon tersebut sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-Undang.
Pencapaian Sharmaine pada usia yang masih muda itu turut mendapat perhatian netizen.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum melihat kesungguhannya dalam bidang akademik, selain memuji pencapaiannya yang dianggap membanggakan.
Tidak kurang juga yang menjadikan perjalanan Sharmaine sebagai inspirasi untuk terus mengejar impian dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.
Bagi Sharmaine, perjalanan setiap individu tidak semestinya perlu mengikut acuan yang sama.
Apa yang penting adalah terus mengejar perkara yang dirasakan bermakna dan sesuai dengan matlamat hidup masing-masing.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.