#GirlPower: Masuk Universiti Harvard Dengan Biasiswa, Remaja Ini Tolak Hadiah Bernilai RM164 Ribu!

Share

Bayangkan anda dianugerahkan wang bernilai RM164 ribu atas kecemerlangan di dalam akademik dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada orang lain. Mungkin ada dalam kalangan kita tidak akan berbuat demikian, namun inilah yang telah dilakukan oleh gadis berusia 17 tahun ini.

Verde Tetteh yang merupakan pelajar di Sekolah Awam Fitchburg, Massachusetts telah diangkat untuk menerima General Excellence Award dari pihak sekolahnya yang mana seiring dengan anugerah itu dia akan disokong dengan sumber kewangan bernilai RM164 ribu untuk tempoh empat tahun pengajiannya di universiti.

Namun gadis bijak ini tidak mementingkan diri, dia yang sudahpun diterima masuk ke Universiti Harvard telah memperoleh biasiswa penuh kerajaan negeri bagi menanggung kosnya sepanjang berada di universiti berprestij itu. Oleh yang demikian, dia membuat keputusan untuk membantu pelajar lain yang mungkin tidak bernasib baik menerima sokongan kewangan.

Dalam ucapannya dia berkata, “Saya sangat bersyukur untuk anugerah ini, tetapi saya tahu yang saya bukanlah orang yang sangat memerlukannya ketika ini. Melihat ibu saya yang belajar di Kolej Komuniti dan bagaimana institusi tersebut membantunya, saya sangat berterima kasih jika pihak pengurusan sekolah mempertimbangkan untuk memberi biasiswa ini kepada rakan-rakan yang akan ke Kolej Komuniti.”

Verde bersama keluarga dan pengetua sekolah.

Dia akan menyambung pelajaran di Universiti Harvard dalam jurusan kimia dalam trek pra-perubatan. Ketika ini dia masih lagi dalam perbincangan bersama pihak sekolah untuk membahagikan wang kemenangan kepada pelajar yang layak menerimanya.

Untuk pengetahuan pembaca, ibu Verda merupakan seorang imigran Ghana yang berhijrah ke Amerika Syarikat dan membawa dia bersama sentiasa menekankan bahawa pendidikan adalah penting. Ibunya sendiri telah menerima ijazah sarjana muda dari Kolej Komuniti setempat pada usia 47 tahun dan semuanya dilakukan sambil membesarkannya dan bekerja 80 jam seminggu untuk menampung keluarga.

Sumber: USA Today

Baca juga: #GirlPower: Tamat Pengajian Di Universiti Stanford. Maudy Ayunda Cantik Berkebaya Merah Ketika Majlis Konvokesyen

IKLAN