Hiburan

Bayaran Cecah RM10 Juta, G-Dragon Kini Antara Model Iklan Paling Mahal Di Korea

Share

Baru-baru ini, persaingan antara beberapa jenama perbankan di Korea Selatan mula meraih perhatian apabila mereka dilaporkan sanggup berbelanja besar demi mendapatkan selebriti popular sebagai wajah utama dalam mempromosi kempen masing-masing.

Bagaimanapun, antara nama yang paling menjadi tumpuan sudah tentunya ikon K-Pop terkenal iaitu G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji Yong (38), yang dikatakan masih dipilih sebagai model iklan dengan bayaran tertinggi di negara itu.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh Financial News, jumlah keseluruhan perbelanjaan pengiklanan lima bank komersial terbesar di Korea Selatan dilaporkan buat pertama kali melebihi 800 bilion Korea Won (sekitar RM2.7 bilion) tahun lalu. Peningkatan mendadak itu dilihat berpunca daripada persaingan sengit dalam menarik perhatian pelanggan menerusi kempen pemasaran berskala besar.

Dalam kalangan bank terbabit, Hana Bank muncul sebagai institusi yang paling banyak membelanjakan kos pengiklanan apabila mereka dilaporkan memperuntukkan sekitar 177.6 bilion Korea Won (sekitar RM598 juta) sepanjang tahun lalu. Menariknya, G-Dragon turut menjadi antara figura utama yang dipilih untuk mengetuai kempen promosi bank tersebut.

Selain G-Dragon, Hana Bank juga bekerjasama dengan beberapa nama besar lain termasuk pemain bola sepak terkenal Son Heung-min, ahli kumpulan IVE iaitu An Yujin, penyanyi trot Lim Young Woong serta penghibur popular Kang Ho Dong. Kehadiran barisan selebriti ternama itu dilihat sebagai strategi untuk memperkukuhkan lagi jenama mereka dalam pasaran kewangan Korea Selatan.

BACA: Sentiasa Hargai Staf, G-Dragon Sediakan Apartmen & Tubuhkan Yayasan Buat ‘Team GD’

Di samping itu, pakar industri menganggarkan bayaran ‘endorsement’ tahunan G-Dragon sahaja mencecah sekitar 3 bilion Korea Won (lebih kurang RM10 juta). Jumlah tersebut sekaligus meletakkan pelantun lagu ‘Power’ itu sebagai antara selebriti dengan nilai komersial paling tinggi di Korea ketika ini.

Sementara itu, populariti G-Dragon yang terus kekal relevan meskipun sudah bertahun-tahun berada dalam industri hiburan dilihat menjadi faktor utama mengapa banyak syarikat besar masih mahu mendapatkan khidmatnya. Malah, pengaruh besar dimiliki anggota BIGBANG itu bukan sahaja kuat dalam industri muzik, tetapi turut memberi impak dalam dunia fesyen, gaya hidup dan pemasaran global.

Fenomena ini secara tidak langsung membuktikan bahawa kuasa selebriti masih memainkan peranan penting dalam dunia pengiklanan moden di Korea Selatan. Dengan pengaruh media sosial dan fandom yang semakin besar, jenama-jenama utama kini lebih berani melabur jutaan Korea Won demi memastikan kempen mereka mendapat perhatian meluas.

Setakat ini, G-Dragon masih kekal sebagai antara figura paling eksklusif dalam industri hiburan Korea dan nilainya sebagai duta jenama dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa. Tidak mustahil untuk melihat lebih banyak syarikat antarabangsa cuba mendapatkan khidmatnya selepas ini, terutama dengan kemunculan semula aktifnya dalam dunia hiburan kebelakangan ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE