
Filem yang memaparkan mengenai isu kemanusiaan rakyat di Palestin, The Voice of Hind Rajab telah mencatatkan 39,000 tontonan selepas ditayangkan selama 11 hari di Malaysia.
Ia sekaligus menjadikan Malaysia berada di tangga keempat yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi di seluruh dunia; di belakang Perancis (300,000 tontonan), Itali (245,000 tontonan) dan Belgium (39,500 tontonan). Malaysia berjaya mendahului Sepanyol di tangga kelima yang mencatatkan 20,000 tontonan setakat Ahad lalu.
Pejuang kemanusiaan Palestin, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang sanggup membeli tiket dan menonton di pawagam merupakan satu kejutan yang luar biasa.
Paling ketara adalah pada hari tayangan ke-9 (Jumaat) hingga ke-11 (Ahad) minggu lalu disebabkan faktor cuti hujung minggu dan setelah lebih banyak promosi dikongsikan terutamanya di platform media sosial.
“Ini bukti pasaran Malaysia sangat berpotensi untuk genre sebegini. Bukan hanya tertumpu kepada (filem) hiburan semata-mata,” katanya yang berada di Kuala Terengganu pada Sabtu lepas bagi mempromosikan tayangan The Voice of Hind Rajab di sana.
Selain Terengganu, skuad filem berkenaan turut dijadualkan untuk berkunjung ke beberapa lagi lokasi lain sementara ia masih ditayangkan di pawagam tempatan sebagai usaha memperluas kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai soal suara kemanusiaan.
The Voice of Hind Rajab mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta ketika serangan berlaku di Gaza pada 29 Januari 2024.
Ketika berada di dalam kereta, kanak-kanak bernama Hind itu serta keluarganya diserang dan ditembak mati seorang demi seorang, kecuali dirinya. Lapor media pada waktu itu, sebanyak 355 butir peluru telah menembusi kenderaan yang mereka naiki.
Sepanjang filem berdurasi 89 minit itu, jiwa penonton akan dirobek dengan emosi apabila menyaksikan usaha sekumpulan sukarelawan PRCS yang bertungkus-lumus mencari ruang bagi menyelamatkan satu lagi nyawa sambil Hind merayu agar seseorang dapat menjumpainya.
Selama lebih dua jam, Hind kekal di talian telefon bersama pasukan tersebut sambil menjawab soalan-soalan mereka dengan suaranya yang semakin perlahan.
Dalam penuh ketakutan kerana orang di sekelilingnya sudah tidak bernyawa, penonton akan merasa sebak apabila talian telefon Hind akhirnya senyap. Adakah ia menandakan Hind sudah meningga dunia? Adakah ambulans sempat untuk tiba dan menyelamatkan Hind?
Korang kenalah pergi ke pawagam dan menonton sendiri filem The Voice of Hind Rajab yang dibintangi oleh Saja Kilani, Motaz Malhees, Ameer Hlehel dan Clara Khoury.
Bukan hanya filem ini membuka mata penonton, malah setiap RM1 daripada setiap tiket yang dibeli akan disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sebagai tanda solidariti kita terhadap bumi Gaza dan nasib rakyatnya.
Sebagai info, filem The Voice of Hind Rajab turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan deretan anugerah utama serta pencalonan untuk festival filem berprestij menjadi milik mereka.
Ia juga dipercayai akan menjadi pesaing utama bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Academi Awards (Oscar) Ke-98 pada tahun ini sebagai wakil rasmi negara Tunisia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.