Sukan

Fenomena Taehyung BTS Gegarkan Stadium Dodger, Jualan Tiket Melonjak 5 Kali Ganda

Share

Bintang K-Pop terkenal, V dari kumpulan fenomena global BTS baru-baru ini kembali mencetuskan sensasi luar biasa di Amerika Syarikat apabila hadir untuk membuat lontaran pertama atau lebih dikenali sebagai ‘ceremonial first pitch’ di perlawanan Major League Baseball (MLB) di Dodger Stadium, Los Angeles.

Kehadiran penyanyi itu menjadi perbualan hangat di media sosial pada 26 Ogos semalam, selepas beliau melangkah masuk ke padang memakai jersi Dodgers sambil disambut sorakan gemuruh peminat. Saat lagu hit BTS berjudul ‘MIC Drop’ bergema di seluruh stadium, V atau nama sebenarnya Kim Taehyung (30) dengan penuh gaya melontarkan bola pembukaan sebelum perlawanan antara LA Dodgers menentang Cincinnati Reds bermula.

Tidak cukup dengan itu, V turut kembali ke tengah padang untuk melaungkan frasa ikonik Dodgers, “It’s time for Dodger baseball!” yang pernah dipopularkan penyiar legenda Vin Scully dan aura keyakinannya nyata membuat seluruh stadium bertambah gamat.

Dalam pada itu, apa yang lebih mengujakan adalah kesan kehadirannya terhadap jualan tiket. Sejurus pengumuman bahawa V bakal membuat lontaran pembukaan, platform jualan tiket popular, StubHub melaporkan lonjakan lebih lima kali ganda jualan tiket untuk perlawanan tersebut. Malah, sistem mereka turut mengalami gangguan sementara akibat trafik luar biasa.

Menurut pengulas sukan di lokasi juga tidak ketinggalan memberikan pujian berbunyi,

“V adalah sensasi global. Sejurus penampilannya diumumkan, jualan tiket melambung tinggi. Tanpa ragu beliau adalah bintang bertaraf dunia,” katanya.

Selain itu, lontaran bola V juga mendapat pujian orang ramai yang menyatakan bahawa lemparannya hebat, cukup sempurna seakan boleh ditawarkan kontrak sebagai seorang pemain.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensinya BigHit Music, V sempat berkongsi kenangannya menonton perlawanan itu bersama anggota BTS yang lain.

“Saya masih ingat pernah menonton perlawanan Dodgers di sini bersama ahli BTS ketika baru debut dulu. Kali ini dapat kembali semula memberikan saya rasa nostalgia yang bermakna. Melontar bola di tempat penuh kenangan ini benar-benar istimewa,” katanya.

“Jika diberi peluang lagi, saya ingin belajar dengan lebih baik dan melakukannya semula. Terima kasih ARMY dan semua peminat baseball atas sokongan padu kalian,” ujarnya lagi.

Kehadiran pelantun lagu ‘Slow Dancing’ itu jelas bukan sahaja menghubungkan peminat K-pop dan penggemar sukan, malah mengukuhkan lagi pengaruh globalnya. Di luar dunia muzik, beliau kini menjadi wajah utama untuk jenama fesyen mewah, kempen minuman global serta produk gaya hidup premium.

Untuk perkembangan terkini, BTS dijadualkan akan kembali dengan projek muzik baharu serta perancangan untuk mengadakan jelajah dunia berskala besar menjelang musim bunga 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE