
Selepas hangat dikaitkan dengan kontroversi rumah tangga melibatkan pasangan pempengaruh terkenal, pelakon Fattah Amin akhirnya tampil bersuara dan mengambil langkah tegas.
Menurut Fattah, pihak pengurusannya kini sedang menguruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah melibatkan dirinya.
“Pengurusan saya perasan perkara ini selepas diberitahu peminat yang prihatin. Perkara tidak elok dan fitnah yang disebar, sudah diteliti pengurusan saya.
“Pengurusan saya akan ambil tindakan dan jika perlu, kami guna undang-undang. Sebenarnya, ketika ini, perkara ini bukan lagi sedang dipertimbangkan, sebaliknya, sedang diurus,” jelasnya tegas ketika ditemui pada sidang media selepas memenangi trofi Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025, yang berlangsung di PICC, malam tadi.
Tambahnya lagi, fitnah bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana impaknya boleh menjadi lebih buruk terhadap kerjaya dan imejnya.
“Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan fitnah kerana dari fitnah, ia boleh menyebabkan perkara yang lebih teruk
,” tegasnya lagi.Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila seorang pempengaruh wanita mendakwa rumah tangganya diganggu oleh seorang individu yang dikatakan cuba menggoda suaminya.
Lebih mengejutkan, wanita tersebut mendakwa individu terbabit pernah dikaitkan dengan Fattah sendiri. Pendedahan itu dibuat menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di platform Threads, sekaligus mengundang pelbagai spekulasi netizen.
Di sebalik segala kekecohan, Fattah tetap melakar pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai pemenang trofi Selebriti Maskulin Terhangat AMT 2025.
“Semua yang tercalon hebat-hebat belaka. Saya anggap mereka sebagai abang-abang dalam industri seni.
“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan dan undi hingga saya berjaya meraih trofi ini,” katanya penuh rendah hati.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.