Berita

Fattah Amin Impi Bawa Fatima Ke Disneyland Paris Pula -“Saya Kena Kerja Keras Lagi…”

Share

Selepas pulang daripada percutian menyeronokkan di Hong Kong, pelakon popular Fattah Amin berkongsi hasrat untuk membawa anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, bercuti ke Disneyland Paris pula.

Katanya kepada Remaja, impian tersebut mungkin akan direalisasikan suatu hari nanti sekiranya ada rezeki.

“Saya teringin nak bawa dia ke Disneyland di Paris pula, InsyaAllah semoga ada rezeki. Saya kena kerja keras lagi,” katanya.

Bercerita mengenai percutian di Hong Kong baru-baru ini, bintang filem Pendekar Awang itu menjelaskan beliau tidak hanya ditemani Fatima, malah turut membawa keluarga serta anak-anak buah.

“Saya pergi ke sana dengan team saya dan keluarga serta anak-anak buah yang lain. Macam Fatima pula bila dah berusia lima tahun ni, dia suka kalau ada sepupu dia sekali untuk berkawan.

“Fatima enjoy dan excited dengan trip tu seperti yang saya kongsikan di media sosial. Sebenarnya ada banyak lagi gambar dan video yang kami rakam tapi tak sempat saya nak kongsikan,” jelasnya.

Fattah ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran platform OTT, UTV yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Khamis.

Anak sulung, tanggungjawab besar

Apabila ditanya sama ada beliau menanggung keseluruhan kos percutian, Fattah tidak menafikan hal tersebut. Namun, baginya itu bukan ‘menaja’, sebaliknya tanggungjawab sebagai anak sulung.

“Ya betul (tanggung kos), sebab yang ikut adalah keluarga dan saya pula anak sulung. Perkataan sponsor (taja) tu tak sesuai sebab kami pergi sebagai percutian keluarga jadi kami sama-sama lah,” tambahnya.

Kenapa pilih Hong Kong?

Menurut Fattah, pemilihan Hong Kong sebagai destinasi dibuat bagi memberi pengalaman baru buat Fatima, selain ia juga kali pertama mereka menjejakkan kaki ke negara itu.

“Hari itu Fatima dah pergi Tokyo, jadi saya nak bawa dia ke tempat baru sebab Disneyland di setiap negara tu berbeza. Itu sebab mengapa saya bawa Fatima ke Hong Kong. Macam saya sendiri pun tak pernah pergi ke negara tu,” katanya.

Pilih untuk jaga privasi

Mengulas tentang tanggapan sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakannya kurang berkongsi momen bersama Fatima, pelantun lagu Wanita Terakhir itu menjelaskan beliau lebih selesa menjaga privasi.

“Bagi saya setiap orang ada cara yang berbeza. Macam saya, lebih suka menjaga privasi dan ada masa bila perlu, saya akan berkongsi juga di media sosial.

“Cuma macam percutian baru-baru ini, saya tak sempat nak kongsikan apa-apa masa sampai tu. Sebagai single dad yang kena mandikan Fatima, sediakan pakaian dia dan sebagainya.

“Kalau tengok Fatima ni memang seorang yang clingy, kemana pun dia mesti nak daddy dia. Jadi bila ada kelapangan masa baru lah saya kongsikan di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Fattah sempat berkongsi beberapa foto dan video momen istimewa bersama Fatima ketika meluangkan masa di Disneyland Hong Kong.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath