
Teka-teki mengenai status hubungan penyanyi dan pelakon, Amira Othman bersama aktor popular, Fattah Amin akhirnya terjawab apabila pasangan itu tampil mengesahkan ikatan mereka secara rasmi di hadapan peminat dan pihak media pada petang tadi.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin (35), beliau mengejutkan ramai pihak apabila membuat penampilan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris yang berjudul ‘Rasa & Takdir’ pada Isnin.
Suasana dalam dewan tiba-tiba bertukar riuh apabila bintang filem Mat Kilau itu muncul dari arah belakang dewan ketika Amira (32) atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman sedang berduet bersama Irfan. Kehadiran aktor berkarisma itu nyata mengundang sorakan gemuruh para tetamu sebelum beliau melangkah naik ke pentas.
“Mesti ramai yang pelik saya ada di majlis pelancaran Rasa & Takdir. Sebenarnya hari ini saya dan Amira, ada berita baik untuk diumumkan yang nak kongsi dengan semua”
“Seperti semua orang tahu kami adalah rakan sekerja dan selepas beberapa lama berkenalan, kami insyaAllah ingin bertukar status dari rakan sekerja kepada rakan serumah,” jelas Fattah.
Momen penuh romantis itu tercetus apabila Irfan menyerahkan replika ‘kunci’ kepada Fattah di hujung persembahan sebagai lambang tanggungjawab dan restu. Fattah kemudian mengambil alih mikrofon untuk membuat pengumuman rasmi tentang hubungan mereka yang sekian lama menjadi tanda tanya.
Selepas menyatakan hasrat hatinya, Fattah menyerahkan semula simbolik ‘kunci’ itu kepada Amira. Aksi itu jelas membawa makna besar apabila ia menjadi tanda ikatan rasmi mereka bermula. Lebih manis, saat tersebut turut disaksikan sendiri oleh ibu bapa Amira iaitu Othman Abdul Kadir dan Nora Arshad.
Dalam pada itu, majlis yang sepatutnya hanya memberi fokus kepada pelancaran lagu baharu bertukar menjadi satu pengumuman bersejarah dalam kerjaya seni kedua-dua selebriti itu. Pasangan berkenaan kemudian beredar sejurus selepas acara selesai, meninggalkan dewan dengan penuh senyuman.
Untuk pengetahuan, Fattah dan Amira difahamkan bakal diijabkabul di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru pada 14 September ini. Tarikh tersebut dipilih kerana bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Fattah, sekaligus menjadikan ia hari bermakna berganda buat aktor itu.
Terdahulu, media sosial dibanjiri dengan pelbagai spekulasi mengenai status Fattah yang dikatakan bakal menamatkan zaman duda. Spekulasi berkenaan mula tercetus selepas seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai @Kimchikims_ mendakwa menerima maklumat daripada sumber rapat mengenai perancangan perkahwinan aktor berkenaan.
Khabar tersebut pantas menjadi bualan dalam kalangan peminat seni hiburan tanah air, apatah lagi nama Fattah Amin dan Amira Othman sering dikaitkan bersama dalam beberapa acara industri sebelum ini. Namun, kedua-duanya memilih untuk berdiam diri sehingga tiba momen pengumuman rasmi itu.
Sekadar info, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon jelita, Fazura pada 27 November 2017. Namun, pasangan itu disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu selepas hampir enam tahun bersama. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.