
Bersedia untuk sebuah perayaan gaya yang penuh makna apabila Fashionably Modest Asia 2025 bakal mengangkat fesyen sopan ke pentas utama dari 18 hingga 20 November ini di Kuala Lumpur.
Acara berprestij ini diwujudkan bagi meraikan fesyen moden yang memadukan keberanian, kesederhanaan dan keanggunan wanita masa kini, sambil mengetengahkan kepelbagaian budaya dari seluruh rantau ASEAN.
Fashionably Modest Asia 2025 bukan sekadar pentas peragaan, tetapi sebuah pergerakan yang meraikan identiti dan keyakinan wanita moden. Dikuasakan oleh jenama Wardah sebagai rakan rasmi kecantikan, acara ini akan dimulakan dengan kurasi eksklusif oleh Min Luna. Dikenali dengan sentuhan elegan dan kontemporari, Min menghimpunkan barisan pereka fesyen tersohor tanah air seperti TACT, Ezzati Amira, Hasz Hisham, Shaz Nash, Afiq M, Bev C, SVG, Huntilanak dan Behati dalam satu persembahan yang menjanjikan karakter serta keaslian.
“Fashionably Modest Asia 2025 meraikan fesyen yang memperkasakan wanita dengan keyakinan yang tenang, di samping memupuk pertukaran budaya dan kerjasama serantau,” kata Andrew Tan, Penasihat Gaya Hidup FMA 2025.
“Paling menginspirasikan, kita dapat melihat pereka dari seluruh ASEAN berkongsi cerita dan kreativiti mereka melalui fesyen sopan yang dekat dengan jiwa masyarakat hari ini”
Selain barisan tempatan, Fashionably Modest Asia 2025 turut membuka ruang kepada kolaborasi serantau melibatkan nama-nama besar dari ASEAN seperti Na Forrér (Brunei), Chris Nick (Filipina), Khaar (Vietnam) dan Benang Jarum (Indonesia). Kehadiran mereka memperkukuh mesej utama acara ini — bahawa fesyen sopan mempunyai tempat dalam arus perdana.
Pereka tempatan juga diberikan ruang untuk menyerlah dengan gaya masing-masing. Shals KL tampil dengan rekaan santai dan ‘youthful’, Fuzana Mokhtaza mengekalkan gaya feminin yang glamor, manakala Sharifah Kirana memberi nafas baharu kepada tekstil tradisional dengan sentuhan moden. Turut serta melengkapkan barisan ialah Maglifestyle, Khatreena, Variante, N.Khan dan Radzuan Radziwill yang menjanjikan variasi gaya mempesona dan elegan.
Rakan rasmi kecantikan, Wardah, mempersembahkan tema “The Season Within: Redefining Beauty” yang mengetengahkan inovasi terkini dalam siri Colorfit, bersama Mira Filzah sebagai wajah rasmi. Keperibadian Mira yang elegan dan autentik menjadikan beliau lambang sempurna wanita moden yang yakin, tulen dan sederhana — selari dengan semangat yang dibawa oleh Fashionably Modest Asia 2025.
Lebih istimewa, Wardah turut berkolaborasi dengan sembilan pereka serantau termasuk Tangoo, Ashley@Kapas dan Atelier Prive Melson bagi mencipta dua rekaan eksklusif menggunakan fabrik deadstock. Inisiatif ini bukan sekadar mempersembahkan warna serta siluet baru, malah mengangkat mesej kelestarian dalam industri fesyen kontemporari yang semakin berkembang pesat.
Sekadar info, Fashionably Modest Asia 2025 akan berlangsung di ruang elegan dalam Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights. Acara ini bakal menjadi simbol pergerakan wanita moden yang sederhana — cerminan kepada kekuatan, keanggunan dan keindahan sebenar wanita Asia hari ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.