Berita

Impian Arwah Ibu Diteruskan, Kerajaan Sarawak Tanggung Pengajian Euodia Hingga Bergelar Doktor

Share

“Saya janji, 10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr Euodia demi mommy.”

Luahan penuh emosi itu menjadi janji Euodia Then Suling, 15, kepada mendiang ibunya, Debra Moset, jururawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu.

Di sebalik kehilangan insan paling disayanginya, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1 itu bertekad untuk meneruskan impiannya menjadi seorang doktor, seperti yang pernah dirancang bersama ibunya.

Kini, perjalanan Euodia untuk merealisasikan impian tersebut bakal mendapat sokongan penuh apabila Kerajaan Sarawak mengumumkan akan menanggung kos pendidikannya sehingga dia berjaya bergelar doktor.

Pesanan Ibu Jadi Pembakar Semangat Euodia Then Suling

Euodia dilaporkan kali terakhir bertemu mendiang ibunya pada 3 September lalu di Kampung Semadang, hanya beberapa hari sebelum tragedi berlaku.

Menurut Euodia, kerjaya Debra sebagai seorang jururawat menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik dengan bidang perubatan.

Malah, apabila Euodia Then Suling pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi doktor, ibunya sentiasa memberikan galakan dan berpesan supaya dia belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita tersebut.

Debra juga dikatakan pernah berjanji mahu menemani perjalanan anaknya sehingga Euodia berjaya bergelar doktor. Ibu dan anak itu bahkan pernah membayangkan untuk bekerja bersama-sama dalam bidang perubatan pada suatu hari nanti.

Namun, impian untuk melihat detik tersebut bersama tidak kesampaian selepas Debra terkorban dalam nahas berkenaan.

Kerajaan Sarawak Tanggung Pendidikan Euodia Hingga Jadi Doktor

Keazaman Euodia Then Suling turut mendapat perhatian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas beliau membaca mengenai hasrat remaja berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh dan meneruskan legasi ibunya.

Ketika berucap pada Majlis Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara, Abang Johari mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan Euodia sehingga dia berjaya mencapai cita-citanya.

Menurut beliau, kehilangan ibu atau bapa sememangnya tidak mampu digantikan dengan wang ringgit, namun kerajaan negeri akan memainkan peranan dalam membantu keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.

Malah, bantuan pendidikan sama turut akan diberikan kepada anak-anak mangsa lain yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Lima Nyawa Terkorban Dalam Nahas Helikopter

Nahas helikopter BO-105 di Long Lellang, Ulu Baram itu mengorbankan kesemua lima individu yang berada di dalam pesawat.

Selain Debra, 40, mangsa lain ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta seorang lagi jururawat, Jessie Paya Jok, 44.

Tragedi tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah turut memperlihatkan pengorbanan petugas kesihatan yang menjalankan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.

Buat Euodia, perjalanan untuk merealisasikan cita-citanya masih panjang. Namun kini, dia mempunyai satu lagi sokongan besar untuk terus melangkah.

Semoga satu hari nanti, janji yang ditulisnya buat mendiang ibu benar-benar menjadi kenyataan dan nama Dr Euodia menjadi bukti bahawa pesanan serta semangat seorang ibu terus hidup dalam diri anaknya.

Sumber : Sirap Limau, Utusan Borneo

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy