
Baru-baru ini, dunia hiburan dikejutkan dengan khabar gembira apabila penyanyi dan pelakon tersohor, Erra Fazira mengumumkan bahawa beliau bakal menamatkan zaman solonya bersama pilihan hati, Ezwan Zain, pada 12 Disember ini.
Memetik laporan media tempatan, Erra, atau pemilik nama sebenar Erra Fazira Wan Chek (51), nyata tidak mampu menahan air mata ketika berkongsi detik penting itu bersama pihak media.
“Bismillah, InsyaAllah saya rasa ini berkat doa semua. Ini tangisan gembira, bukan tangisan sedih,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput rakan media dan peminat untuk mendoakan agar majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat itu berjalan lancar dan diberkati.
“Jadi, tanggal keramat saya 12 Disember 2025,” ujar Erra sambil tersenyum dalam linangan air mata.
Sementara itu, Ezwan Zain, atau lebih dikenali sebagai ‘Mr E’, sebelum ini mengakui hubungan mereka yang bermula sekitar Ogos 2024 semakin serius. Pada Mac lalu, beliau mendedahkan sudah bersedia untuk membawa hubungan itu ke fasa lebih bermakna seperti yang diharapkan ramai.
Sejak awal tahun ini, ramai peminat mula menghidu perkembangan hubungan pasangan ini apabila Erra memuat naik ucapan bernada romantis di media sosial, sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa hati primadona itu sudah berpunya.
Tidak lama selepas itu, Erra yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia dilihat semakin terbuka tentang hubungan mereka, terutama selepas beliau muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial.
Pada masa yang sama, perkongsian itu membuatkan peminat semakin yakin bahawa hubungan mereka bukan sekadar gosip, malah benar-benar menuju masa depan yang lebih kukuh sehingga aura kebahagiaan jelas terpancar setiap kali pasangan ini muncul bersama dalam talian.
Menerusi pengumuman rasmi ini, peminat dan rakan industri kini menantikan detik bersejarah pada 12 Disember nanti, apa yang pasti, ia akan menjadi antara momen paling dinanti dalam industri hiburan tahun ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.