Hiburan

ENHYPEN Sumbang 100 Juta Korea Won Dalam Usaha Bantu Filipina Pulih Dari Banjir Di Bulacan

Share

Baru-baru ini, kumpulan K-pop sensasi, ENHYPEN bersama agensi naungan mereka, Belift Lab, meraih perhatian apabila memberi sumbangan sebanyak 100 juta Korea Won (RM282,000) bagi membantu usaha pemulihan banjir di Filipina. 

Menurut Belift Lab menerusi sebuah kenyataan, sumbangan tersebut akan disalurkan khususnya kepada komuniti yang terjejas di wilayah Bulacan iaitu antara kawasan paling teruk dilanda banjir ketika musim taufan. Agensi itu juga memaklumkan bahawa bantuan berkenaan akan digunakan bagi meringankan beban mangsa dan menyokong proses pemulihan.

“Kami dimaklumkan tentang kejadian banjir besar yang menjejaskan ramai komuniti di seluruh Filipina, sebuah negara yang sudah lama dekat di hati kami,” ujar ENHYPEN yang turut menzahirkan rasa simpati mendalam terhadap situasi yang menimpa rakyat negara tersebut.

Enhypen semasa konsert jelajah di Bulacan
Keadaan banjir di Bulacan yang menjejaskan banyak keluarga

Difahamkan, Bulacan turut mempunyai nilai sentimental buat ENHYPEN. Pada Mac lalu, kumpulan tersebut tampil dengan salah satu konsert stadium terbesar mereka di Asia Tenggara menerusi konsert siri jelajah dunia “WALK THE LINE” yang berlangsung di Philippine Sports Stadium, Bulacan. Selain itu, populariti ENHYPEN di Filipina juga terus meningkat apabila mereka dilantik sebagai duta kepada beberapa jenama utama di negara itu.

“Kami ingin menghulurkan sokongan, walaupun sekecil mana sekalipun, dan benar-benar berharap sumbangan ini dapat digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan serta menyokong usaha pemulihan yang sedang dijalankan. Hati kami sentiasa bersama komuniti setempat dan para peminat dalam waktu yang mencabar ini,” jelasnya lagi.

Di samping itu, Belift Lab juga menjelaskan bahawa objektif utama sumbangan ini adalah untuk menyediakan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir besar sekaligus membantu inisiatif pemulihan dan usaha membangunkan semula komuniti. Pada masa yang sama, agensi itu menegaskan komitmen mereka dalam membantu komuniti yang pernah memberikan sokongan luar biasa kepada ENHYPEN.

“Filipina adalah tempat ENHYPEN mengadakan konsert stadium pertama mereka di Asia Tenggara, dan ia kekal sebagai lokasi yang sangat bermakna buat kumpulan serta seluruh pasukan kami”

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi bantuan yang benar-benar signifikan kepada mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini,” kata wakil Belift Lab.

Sumbangan itu akan disalurkan menerusi organisasi bukan kerajaan Hope Bridge Korea Disaster Relief Association dengan kerjasama Philippine Disaster Resilience Foundation. Filipina kini berada dalam darurat bencana selepas beberapa siri taufan mengakibatkan banjir besar dan menjejaskan jutaan penduduk di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, industri hiburan Korea turut terkesan apabila pelakon Lee Jong-suk mengumumkan pembatalan fan meeting di Manila atas faktor keselamatan susulan protes besar-besaran berkaitan skandal rasuah projek kawalan banjir. Situasi tersebut terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan selebriti dan peminat.

Setakat ini, ratusan ribu rakyat Filipina menyertai protes menuntut ketelusan berhubung projek infrastruktur mitigasi banjir yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan bernilai berbilion dolar. Beberapa kawasan, termasuk Bulacan, kini berada dalam siasatan aktif terhadap projek-projek didakwa berkualiti rendah itu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE