
Enam individu termasuk sebuah keluarga yang mempunyai dua kanak-kanak dilaporkan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Trans Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing, di sini.
Pihak polis kini sudah mengenal pasti identiti kesemua individu terbabit dan bersiap sedia untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada empat sekeluarga iaitu pasangan suami isteri, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan Siti Zulaiha Norizan, 39.
Turut bersama mereka ialah dua anak pasangan berkenaan, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, sembilan tahun.
Keluarga tersebut difahamkan beralamat di Yong Peng, Johor.
Selain empat sekeluarga itu, pendakian berkenaan turut disertai dua malim gunung iaitu Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 44, yang berasal dari Dabong, Kuala Krai.
Menurut Sik Choon Foo, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi membantu operasi SAR untuk mengesan keenam-enam individu terbabit.
Usaha berkenaan turut mengambil kira keadaan dua kanak-kanak yang berada dalam kumpulan pendaki tersebut.
“Polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Malim Gunung Perhutanan Kelantan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kekuatan pasukan di daerah Gua Musang ketika ini membabitkan dua pegawai dan 16 anggota.
Empat kenderaan pacuan empat roda turut tersedia bagi membantu pergerakan pasukan sekiranya operasi SAR dilaksanakan.
Bukan sahaja pasukan dari Gua Musang, usaha mengesan kumpulan pendaki berkenaan turut dijalankan oleh IPD Gerik bersama agensi berkaitan dari Perak.
Kerjasama antara agensi dari kedua-dua negeri itu diharap dapat membantu mempercepatkan usaha mengesan kesemua pendaki yang masih belum dapat dihubungi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.