
Aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 baru-baru ini mencuri perhatian apabila empat pasukan terbaik dunia bakal berentap untuk memburu tiket ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Perancis, Sepanyol, England dan Argentina menjadi empat pasukan terakhir yang masih berpeluang menjulang trofi selepas berjaya mengharungi saingan sengit sepanjang kejohanan.
Difahamkan, ini merupakan kali pertama empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia terdiri daripada pasukan yang berada dalam kelompok empat terbaik ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Perancis yang menghuni kedudukan pertama dunia bakal bertemu Sepanyol di tempat ketiga, manakala England (keempat) akan menentang Argentina yang berada di ranking kedua.
Edisi kali ini turut mencipta satu lagi catatan istimewa apabila kesemua pasukan yang mara ke separuh akhir merupakan bekas juara Piala Dunia.
Untuk rekod, Argentina memiliki tiga kejuaraan menerusi edisi 1978, 1986 dan 2022, manakala Perancis pernah muncul juara pada 1998 serta 2018.
Sepanyol pula mencipta sejarah pada 2010, sementara England mengangkat trofi buat kali pertama pada 1966. Kesemua rekod itu menjadikan saingan separuh akhir kali ini lebih menarik dengan pertembungan empat negara yang pernah merasai kejayaan di pentas dunia.
Apa yang lebih menarik, situasi yang menyaksikan empat pasukan separuh akhir merupakan bekas juara hanya pernah berlaku dua kali sebelum ini dalam tempoh 96 tahun penganjuran Piala Dunia.
Kali pertama berlaku pada edisi 1970 yang menampilkan Itali, Jerman Barat, Uruguay dan Brazil, sebelum perkara sama berulang pada Piala Dunia 1990 menerusi saingan melibatkan Itali, Argentina, Jerman Barat dan England.
Untuk info, Piala Dunia telah berlangsung setiap empat tahun sejak kejohanan sulung pada 1930, kecuali pada 1942 dan 1946 akibat Perang Dunia Kedua.
Perancis hadir dengan rekod cemerlang apabila berjaya melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Maghribi.
Skuad kendalian Didier Deschamps itu kini perlu berdepan Sepanyol yang kembali ke kelompok empat terbaik sejak kali terakhir melakukannya pada 2010.
La Roja pula meneruskan kemaraan selepas mengatasi Belgium, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Perancis sebagai aksi yang cukup dinantikan peminat bola sepak.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, England meneruskan perjalanan mereka untuk memburu kejuaraan selepas menewaskan Norway dengan keputusan 2-1.
Skuad The Three Lions yang membawa misi ‘It’s Coming Home’ bakal berdepan cabaran besar apabila bertemu Argentina selaku juara bertahan.
Argentina pula memastikan tempat ke separuh akhir selepas mengatasi Switzerland dalam aksi penuh dramatik yang berlanjutan sehingga masa tambahan.
Pertembungan empat pasukan berstatus juara dunia ini pastinya menjanjikan aksi penuh dramatik apabila masing-masing memiliki pengalaman, kualiti pemain dan sejarah tersendiri dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia. Dengan hanya selangkah lagi menuju final, pentas separuh akhir Piala Dunia 2026 dijangka menjadi medan yang menentukan siapa bakal meneruskan impian untuk mengukir nama dalam sejarah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.