Hiburan

“Kenapa Asyik Salahkan Saya?” Penerbit Muzik, El Capitxn Berang Dituduh Peminat Jadi Punca Heeseung Keluar ENHYPEN

Share

Penerbit muzik K‑Pop terkenal, El Capitxn baru-baru ini mencuri perhatian apabila namanya menjadi bualan hangat di media sosial selepas beliau meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir peminat terutama ENGENE yang menuduh dirinya sebagai punca di sebalik pengunduran mengejut ahli kumpulan ENHYPEN, Heeseung.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram miliknya, El Capitxn atau pemilik nama sebenar Jang Yi Jeong (33) meminta orang ramai supaya berhenti menghantar mesej kepadanya berkaitan Heeseung selepas segelintir peminat dilihat menuding jari terhadapnya berhubung situasi tersebut.

Dalam hantaran berkenaan, produser itu secara terbuka meluahkan rasa kecewa dan geram selepas ada pihak yang menuduh dirinya sebagai punca kepada pengunduran mengejut Heeseung daripada kumpulan tersebut.

Pada masa yang sama, El Capitxn menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan menyifatkan peminat sepatutnya memberi sokongan kepada penyanyi itu, bukannya terus mencari pihak untuk dipersalahkan.

“Berhenti hantar apa-apa kepada saya tentang Lee Heeseung. Budak itu kadang-kadang boleh buat silap. Kalau anda peminat sebenar, anda patut peluk dia sebelum melontar batu,” katanya.

“Kenapa asyik salahkan saya?” ujarnya.

Difahamkan, perkongsian tersebut dengan pantas tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada peminat ENHYPEN. Sehingga ada pihak yang mempertahankan kenyataan El Capitxn, namun tidak kurang juga yang mengecamnya.

Perkongsian di Instagram El Capitxn yang meluahkan rasa kesal sebelum ia disunting padam.

Dalam pada itu, kontroversi berkenaan semakin hangat apabila segelintir pengguna internet membuat spekulasi bahawa El Capitxn mungkin mempunyai pengaruh terhadap keputusan Heeseung untuk meninggalkan kumpulan tersebut memandangkan hubungan persahabatan mereka yang diketahui umum sebelum ini.

Situasi menjadi lebih tegang apabila salah seorang pengguna media sosial menulis kritikan kepada El Capitxn yang menegaskan kepentingan peminat dalam kejayaan Lee Heeseung, yang kemudiannya dibalas oleh El Capitxn dengan menyatakan bahawa tanpa Lee Heeseung, tidak akan ada peminat sama sekali.

Terdahulu, pengunduran Heeseung daripada ENHYPEN diumumkan pada 10 Mac lalu sebelum kumpulan itu disusun semula sebagai kumpulan enam ahli yang terdiri daripada Jungwon, Jay, Jake, Sunghoon, Sunoo dan Ni‑ki. Heeseung dilaporkan bakal meneruskan kerjayanya sebagai artis solo dan kini sedang menyiapkan album baharu untuk para peminat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE