
Banyak pengguna bahasa khususnya para pelajar bertanya tentang perbezaan antara kata “agen” dengan “ejen”. Pada kesempatan ini, kedua-dua kata akan dijelaskan agar pengguna bahasa faham dan tidak melakukan kesalahan bahasa pada masa akan datang.
Kedua-dua perkataan “agen” dan “ejen” merujuk perkataan daripada bahasa Inggeris yang sama iaitu agent. Namun, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kedua-dua perkataan ini merujuk bidang yang berbeza.
Ejen: Orang (syarikat dan sebagainya) yang menjalankan perniagaan untuk orang lain, orang yang diupah dan digunakan untuk mewakili dalam urusan jual beli.
Agen: Sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dan sebagainya)
Lihat perbezaan antara kedua-dua perkataan ini dalam ayat di bawah:
- Puan Rosnah ejen insurans yang dipercayai.
- Asid ialah agen kimia yang penting.
Secara ringkasnya, “ejen” merujuk manusia manakala “agen” merujuk bukan manusia. “Ejen” digunakan untuk orang, wakil syarikat dan sebagainya manakala “agen” kebiasaannya digunakan dalam bidang sains dan teknologi untuk menggambarkan berlakunya sesuatu proses atau tindak balas. Kesimpulannya, kedua-dua perkataan ini digunakan mengikut konteks dan bidang yang berbeza.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Atikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isu Perubahan Iklim Diangkat Artis Kontemporari Malaysia Untuk ‘Cover’ Majalah TIME

Biarpun mengambil sedikit masa, semakin ramai artis seni kontemporari tempatan yang menerima pengiktirafan selayaknya hasil daripada kreativiti dan tenaga yang dikerah untuk menghasilkan karya seni bertaraf antarabangsa.
Terbaru, seorang seniman kontemporari bernama Red Hong Yi telah menempa nama selaku pencipta karya seni yang dijadikan sebagai penghias wajah hadapan atau cover majalah antarabangsa, TIME Magazine.
Red Hong Yi. Sumber Foto: Instagram @redhongyi.
Menerusi muat naik di akaun Instagram, artis kelahiran Sabah ini menjelaskan tentang pemilihan konsep perubahan iklim sebagai cover majalah yang bakal dilancarkan pada 24 April nanti.
“Kami (dia dan pasukannya) melekatkan batang-batang mancis tanpa henti selama lapan jam sehari, sepanjang tempoh dua minggu. Kemudiannya, ia dibakar dalam masa dua minit saja untuk jurufoto dan juruvideo merakamkannya.
“Saya benar-benar berbesar hati kerana telah menghasilkan karya istimewa untuk isu TIME Magazine pada bulan kesedaran perubahan iklim ini.”
“Apabila pandemik COVID-19 terus merebak di seluruh dunia, kita semakin diingatkan bahawa tiada negara yang terkecuali dalam soal krisis global. Sama ada ia pandemik, keruntuhan ekonomi atau dalam isu yang diketengahkan ini, masalah perubahan iklim yang perlu ditangani,” catatnya.


Menariknya, cover majalah ini mendapat sentuhan daripada seniman Malaysia sendiri apabila foto tersebut telah ditangkap oleh pengasas Women Photographers Malaysia, Annice Lyn.
Untuk pengetahuan, Red terdahulu merupakan seorang arkitek dan pernah melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Melbourne, Australia sebelum beralih arah ke bidang seni kontemporari.
*
Sebelum ini, REMAJA pernah melaporkan mengenai artis seni remaja yang dipilih untuk menghasilkan mural di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN : Pemuda Ini Berjaya Hasilkan 12 Lakaran Haiwan Terancam Di Papan Iklan KLCC – REMAJA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaca Oleh Saya

Tatabahasa bahasa Melayu sesungguhnya amat unik dan menarik. Antara yang menarik untuk dikongsi pada kali ini ialah ragam ayat pasif untuk kata kerja transitif berimbuhan “ter-”.
Penutur bahasa Melayu lazimnya menguasai kemahiran untuk menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Sebagai contoh:
| Jenis Ayat | 1 | 2 | 3 |
| Ayat aktif | Saya belum membaca novel itu. | Kamu telah membaca novel itu? | Dia tidak membaca novel itu. |
| Ayat Pasif | Novel itu belum saya baca. | Novel itu telah kamu baca? | Novel itu tidak dibaca olehnya. |
Perbezaan tentang ayat pasif diri pertama, diri kedua dan diri ketiga juga dikuasai oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu walaupun kesilapan umum seperti “Novel itu belum dibaca oleh saya,” “Novel itu telah dibaca oleh kamu” dan “Novel itu tidak dia baca sering dilakukan”.
Banyak penutur bahasa Melayu sering keliru apabila kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif berimbuhan “ter-”.
Sebenarnya, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” amat penting dan mendukung pelbagai maksud dan penggunaan.
Contohnya,
- Saya tertelan pil tidur itu kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
(Maksud tertelan: tidak sengaja menelan)
- Kamu terangkat almari yang berat itu tanpa bantuan sesiapa?
(maksud terangkat: berupaya untuk mengangkat)
Jika diperhatikan, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” ini memang berasal daripada kata kerja transitif berimbuhan “meN-”. Sebagai contoh, tertelan dan terangkat dalam ayat 1 dan 2 di atas boleh digantikan dengan menelan dan mengangkat. Walau bagaimanapun, makna keseluruhan ayat akan berubah walaupun masih gramatis. Kesilapan sering berlaku apabila ayat 1 dan 2 dipasifkan.
| Ayat aktif |
|
|
| Ayat pasif yang salah | 1a. Pil tidur itu saya telan kerana tidak membaca label ubat dengan telitinya. | 2a. Almari yang berat itu kamu angkat tanpa bantuan sesiapa? |
| 1b. Pil tidur itu saya tertelan kerana tidak membaca label ubat dengan teliti. | 2b. Almari yang berat itu kamu terangkat tanpa bantuan sesiapa? | |
| Ayat pasif yang tepat | 1c. Pil tidur itu tertelan oleh saya kerana tidak membaca label ubat dengan teliti. | 2c. Almari yang berat itu terangkat oleh kamu tanpa bantuan sesiapa? |
Ayat 1a dan 2a gramatis tetapi makna khusus “tidak sengaja” dan “berupaya” dalam imbuhan “ter-” sudah hilang. Oleh sebab itu ayat 1a dan 2a bukan ayat pasif untuk ayat aktif 1 dan 2. Ayat 1b dan 2b pula menyalahi hukum tatabahasa. Oleh itu, untuk ayat aktif dengan kata kerja transitif berimbuhan “ter-”, struktur ayat pasifnya, baik ayat pasif diri pertama, diri kedua atau diri ketiga semuanya sama sahaja, misalnya tertelan oleh saya dan terangkat oleh kamu.
Kesimpulannya, kita boleh menggunakan ayat seperti “Novel yang tebal itu terbaca oleh saya”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Gadis Sabah Ini Lanjutkan Pelajaran Ke Korea & Kini Bekerja Di Syarikat Terkenal Dari Jepun

Kemiskinan bukan alasan untuk menjadikan seseorang individu itu berjaya. Asalkan ada minat dan usaha, kejayaan bakal diperoleh untuk kita mengubah kehidupan sekeluarga.
Seperti kisah yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook ini, Azhar Othman menceritakan tentang seorang gadis bernama Riana, yang ditemuinya sempena Program Motivasi Pelajar Cemerlang di Sabah. Riana yang dibesarkan dan bersekolah di Kg Bongkol, Pitas, Sabah. Walaupun menjalani kehidupan yang susah sejak kecil lagi, ia tidak mematahkan semangat untuk gadis ini tetap tetap terus berusaha mengejar cita-citanya.

Bongkol terletak hanya 28km dari Pekan Pitas tetapi mengambil masa perjalanan lebih 1 jam untuk sampai. Biarpun dalam keadaan serba kekurangan di sekolah dan di rumah, Riana berjaya memperoleh 7A dalam PMR 2010. Malangnya, permohonan gadis ini untuk menyambung pelajaran ke MRSM Kuching ditolak dan dia hanya meneruskan pelajaran di SMK Bongkol.
Diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Sabah
Semenjak daripada pertemuan itu, Azhar dan rakan-rakannya berazam untuk membantu Riana untuk mencapai impiannya. Anak jati Sabah ini diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Sabah pada Mei 2011. Pada mulanya, Riana terpaksa menghadapi cabaran sukar. Sebagai seorang yang pendiam dan pemalu (introvert) dan pertama kali berpisah dengan keluarga, beliau sukar menyesuaikan diri di tempat baru, dengan rakan-rakan baru yang tidak kurang hebatnya di sebuah sekolah aliran Sains yang belum pernah ditempuhi sebelum ini.

Malah, ada guru beliau sendiri yang tidak yakin Riana boleh bertahan di sekolah berkenaan. Namun, berkat usaha, keyakinan diri dan bantuan beberapa pihak, beliau mula mengorak langkah menuju kecemerlangan. Apabila keputusan SPM diumumkan, beliau memperolehi 9A termasuk 5A1 dalam subjek Sains dan Matematik.
Melanjutkan pelajaran ke Korea
Setelah menunggu lama dan mengambil risiko menolak beberapa tawaran belajar di dalam negara, Riana akhirnya ditawarkan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Korea Selatan dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Sebelum itu, dia perlu menjalani kursus persediaan bahasa Korea di INTEC, Shah Alam. Ituah kali pertama dia ke Kuala Lumpur dan menaiki kapal terbang.

Februari 2014 menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya Riana menjejakkan kaki di bumi Korea. Melanjutkan pelajaran di Seoul University dan Inha University, Riana belajar cara kehidupan di sebuah kota metropolitan dan budaya tradisional yang bersimpul dengan cara hidup moden melalui interaksi dengan kawan-kawan, pembacaan dan penggembaraan.
Disana juga dia terpaksa berhempas pulas bersaing dengan pelajar tempatan dan antarabangsa. Namun, seperti yang dijangka, Riana berjaya meraih anugerah Dean’s List atas keputusan yang cemerlang.

Gadis ini berjaya menghabiskan pengajian pada akhir 2018 dan menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dalam majlis konvokesyen pada Februari 2019.
Riana kini berkhidmat di sebuah syarikat multinasional terkenal dari Jepun dan ditugaskan untuk menjadi penterjermah dan perantara untuk tujuan menggembangkan pasaran produk syarikat tersebut di Korea Selatan.
Inilah yang dikatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Keazaman dan ketekunan Riana dalam menuntut ilmu membuahkan hasil. Walaupun sudah berjaya, Riana masih lagi merendah diri, bersopan santun dan tidak lalai dengan arus kemodenan. Dia seorang yang amat berdedikasi, rajin dan fokus kepada keinginan tinggi untuk berjaya serta membantu keluarga daripada belenggu kemiskinan.
Tidak ada yang mustahil, korang juga boleh berjaya sekiranya berusaha keras dan tidak menjadikan alasan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk berjaya.
Sumber: Azhar Othman
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

