
Penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha mengakui pengalaman menuntut di Australia sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya ketika menjayakan naskhah sulungnya, Bisikan Nafsu.
Malah, aktres berusia 25 tahun itu tidak menafikan keberaniannya tampil dengan penampilan lebih seksi dalam naskhah berkenaan mungkin mencetuskan kejutan buat penonton.
Menurut Azeva, penggambaran filem tersebut dilakukan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Australia. Ketika itu, dia masih terbawa-bawa dengan budaya serta cara pemakaian yang dianggap biasa di negara berkenaan.
Aktres jelita itu berkata, sejak hari pertama berada di lokasi penggambaran, dia sudah menyedari bahawa setiap babak yang dirakam akan kekal dan boleh ditonton oleh orang ramai.
Malah, dia turut mengakui pernah berkongsi secara terbuka mengenai perubahan dirinya termasuk mengakui pernah berpenampilan seksi sebelum ini.
“Dari hari pertama di set, saya maklum kalau teruskan (penggambaran), sampai bila-bila pun paparan akan kekal. Saya pun selalu mengaku di ‘live’ yang dulu saya seksi, banyak dosa.
“Berlakon pun waktu itu kurang pendedahan. Cuma sempat belajar dua, tiga kelas dan sekarang pun masih tunjuk aurat, tapi semakin sedar untuk jaga batas. Jadi awal-awal lagi saya nak minta maaf jika ada orang kurang selesa.
“Apapun, saya akan pastikan tidak mengulangi perkara sebegitu dalam lakonan untuk naskhah akan datang,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Azeva menjelaskan beberapa babak yang mungkin menjadi perhatian dalam filem berkenaan dilakukan atas keperluan jalan cerita.
Katanya, selain perlu memenuhi tuntutan skrip, penglibatannya dalam filem tersebut juga mempunyai nilai tersendiri memandangkan Bisikan Nafsu merupakan terbitan syarikat miliknya, Hello Production.
“Ada beberapa babak romantis dalam filem berkenaan termasuk watak Nadia lakonan saya bersama tunangnya, Arisz (Aniq Suhair) yang ditonjolkan intim sebagai pasangan bercinta.
“Tapi satu adegan lain yang mungkin jadi sorotan adalah atas katil bersama pelakon Zul Huzaimy selaku bapa tiri tetapi dikaburkan. Kita tak tunjuk terang-terangan.
“Saya faham di Malaysia perkara seperti ini memang sangat sensitif. Babak itu dikaburkan, tiada yang berlebihan. Penonton kena datang tengok untuk tahu apa yang dikaburkan,” ulasnya.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Azeva turut mengambil pengajaran daripada pengalaman pertamanya dalam dunia lakonan.
Dia mengakui kini semakin memahami kepentingan menjaga batas ketika menerima tawaran lakonan dan berjanji untuk tidak mengulangi penampilan sedemikian dalam karya-karya akan datang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.