
Kemiskinan dan kesusahan hidup bukan alasan untuk mengalah, malah itulah yang menjadi pembakar semangat buat Mohamad Izuwansah Ishak, hingga berjaya menggenggam Anugerah Pelajaran Dirajasempena Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.
Anak kepada seorang buruh binaan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dengan Kepujian, dan mendedikasikan kejayaan ini buat kedua ibu bapanya, Ishak Jalil, 60, dan Inn Mindun Damin, 58
, yang tidak pernah jemu berkorban demi memastikan dia mendapat pendidikan terbaik.“Saya bekerja dari Ahad hingga Khamis selama tiga tahun untuk mendapatkan wang saku. Selain itu, saya juga bekerja sebagai penyelaras program khazanah di UMT pada hujung minggu,” katanya kepada media.
Sebagai anak keempat daripada enam beradik, Izuwansah tidak malu mengakui bahawa dia pernah bekerja sambilan sebagai pembuat kopi di sebuah kafe di Kuala Terengganu bagi meringankan beban keluarga, termasuk perbelanjaan harian dan yuran pengajian.
Hasil titik peluh dan kegigihan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Izuwansah menerima
plak, wang tunai RM7,500 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, yang juga Canselor UMT.Kini, anak kelahiran Sungai Tiram, Johor itu bekerja sebagai pembantu penyelidik projek di Jabatan Perikanan Malaysia Johor, namun impian beliau belum berhenti di situ.
“Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan menjadi pensyarah suatu hari nanti,” katanya dengan penuh semangat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.