Berita

“Dulu Berangan Nak Jadi Seseorang, Kini Syasya Sedar Hidup Sederhana Itu Paling Ikhlas” -Syasya Rizal Kongsi Kenangan Membesar Dengan Opah

Share

Pernah rasa malu, kini penuh rasa syukur. Itu yang dapat digambarkan apabila penyanyi Syasya Rizal kembali menjejak rumah flat di tengah bandar Kuala Lumpur tempat dia dibesarkan, kali ini bersama suami tercinta.

Kenangan lama yang pernah dianggap ‘simple’ kini terasa amat berharga.

Kembali Ke Akar: Dari Malu Ke Bangga

Dalam perkongsian di Instagram, Syasya akui suatu masa dahulu dia malu menceritakan tentang tinggal di rumah flat bersama opahnya. Namun kali ini, kepulangannya membawa rasa bangga dan kenangan manis.

“Dulu Syasya pernah malu nak cerita yang Syasya duduk flat dengan Opah. Hari ni Syasya balik semula bawa suami, bawa kenangan, dan bawa rasa bangga jadi anak yang dibesarkan dengan cinta yang sederhana,” tulisnya.

Setiap Sudut Memori Mengalir

Syasya menceritakan pengalaman kembali ke flat itu, mengimbau saat-saat dia membesar, dan bagaimana kehidupan sederhana membentuk dirinya.

“Sebenarnya Syasya pulang nak ambil baju kurung lama di sini. Tetapi entahlah rasa emosi sedikit. Lama betul Syasya tak jejakkan kaki ke rumah opah.

“Naik ‘lift’ lama yang bunyinya masih sama. Setiap tingkat terasa seperti membawa balik Syasya ke versi yang dulu.

“Di sinilah Syasya belajar menjadi kuat dan hidup sederhana.

“Waktu opah buka almari lama, bau kain, penyangkut baju, lipatan opah semuanya masih sama,” katanya.

Pesanan Opah Yang Tak Pernah Lupa

Selain kenangan yang dilalui, bekas anggota kumpulan Dolla itu  turut berkongsi kata-kata opahnya yang menyentuh hati tentang erti sebenar kehidupan.

“Opah cuma senyum dan pesan perlahan, hidup ini bukan tentang apa yang kita ada, tetapi siapa yang ada waktu kita tiada apa.

“Ayat itu ringkas sahaja. Tetapi entah kenapa rasa berat di hati ini. Kalau Syasya yang dulu berangan nak jadi seseorang, rasa hidup yang tak pernah cukup, tetapi Ramadan ini Syasya baru sedar yang sederhana itulah yang paling ikhlas,” kongsinya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath