
Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa semua rangkaian pembayaran menggunakan kod QR persendirian (proprietary QR) akan dimansuhkan secara berperingkat menjelang 30 Jun 2028.
Difahamkan, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Kendali (Interoperable Fund Transfer Framework, IFTF) yang bertujuan mewujudkan sistem pembayaran digital lebih tersusun, cekap dan saling berhubung di seluruh negara.
Menurut BNM dalam satu kenyataan, dasar tersebut akan memastikan semua pembayaran QR domestik menggunakan infrastruktur pembayaran bersama yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet). Sepanjang tempoh peralihan selama dua tahun, institusi kewangan yang terlibat juga tidak lagi dibenarkan mendaftarkan peniaga baharu ke dalam rangkaian QR persendirian masing-masing sebelum ia dihentikan sepenuhnya pada 2028.

Satu Kod QR, Semua Aplikasi Boleh Guna
Melalui pelaksanaan dasar baharu ini, pengguna tidak lagi perlu berdepan situasi di mana sesuatu kod QR hanya boleh digunakan menerusi aplikasi bank atau e-dompet tertentu. Sebaliknya, mana-mana aplikasi pembayaran yang mengambil bahagian dalam rangkaian DuitNow QR boleh digunakan untuk membuat transaksi di premis yang sama.
Pada masa sama, semua bank yang menawarkan pembayaran QR diwajibkan menyertai rangkaian pembayaran bersama, manakala ‘merchant acquirer’ perlu memastikan peniaga di bawah kendalian mereka boleh menerima bayaran daripada pelanggan mana-mana institusi kewangan yang mengambil bahagian. Langkah ini sekaligus mewujudkan ekosistem pembayaran yang lebih terbuka dan saling kendali.


Lebih Mudah Untuk Pengguna & Peniaga
Bagi pengguna, pelaksanaan sistem ini dijangka menjadikan pengalaman pembayaran lebih lancar kerana tidak lagi perlu memuat turun pelbagai aplikasi semata-mata untuk membuat bayaran di premis tertentu. Cukup sekadar menggunakan aplikasi bank atau e-dompet pilihan yang menyokong DuitNow QR.
Manakala, peniaga bakal menikmati proses penerimaan pembayaran yang lebih mudah apabila tidak lagi perlu memaparkan beberapa kod QR daripada penyedia berbeza di kaunter. Selain mengurangkan kekeliruan pelanggan, pendekatan ini turut membantu memudahkan pengurusan transaksi harian.

Program Ganjaran Masih Boleh Diteruskan
Walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan pemain industri mengenai kos peralihan dan pelaksanaan sistem baharu, BNM memaklumkan bahawa PayNet telah memberi jaminan penyedia pembayaran masih mempunyai fleksibiliti untuk menawarkan program kesetiaan pelanggan, ganjaran, promosi serta pelbagai perkhidmatan nilai tambah menerusi platform masing-masing.
Selain itu, penggunaan pembayaran elektronik di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dengan setiap rakyat Malaysia kini melakukan sekurang-kurangnya 1.5 transaksi pembayaran elektronik setiap hari.
Sementara itu, menerusi pelaksanaan dasar ini, BNM berharap sistem pembayaran QR negara akan menjadi lebih seragam, cekap dan bersedia menyokong perkembangan transaksi digital termasuk pembayaran rentas sempadan pada masa hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










