
Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket kejam yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemerasan seksual dan penipuan dalam talian, hasil beberapa siri serbuan yang dijalankan sekitar Kulai dan Johor Bahru antara 20 Jun hingga 1 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar memaklumkan bahawa operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dari IPD Kulai dan Johor Bahru Selatan. Hasilnya, sembilan individu tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 59 tahun berjaya ditahan.
Lebih menyedihkan, dalam operasi sama, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun turut diselamatkan setelah dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa serta penderaan seksual oleh ahli sindiket tersebut.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula bergiat aktif sejak November 2024 dengan modus operandi menyamar sebagai wanita cantik menggunakan akaun media sosial palsu dan memaksa mangsa melakukan panggilan video lucah,” kata Datuk M Kumar dalam sidang media di IPK Johor.
Tambah beliau, sindiket ini menggunakan pautan ‘phishing’ untuk menggodam telefon mangsa serta merakam video lucah mangsa sebelum mengugut mereka agar membayar wang secara berperingkat.
“Mangsa yang mengalami tekanan emosi dan ketakutan akhirnya membuat pemindahan wang ke akaun sindiket seperti diarahkan,” jelasnya lagi.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan tersebut termasuk 27 telefon bimbit pelbagai jenama, kad pengenalan, tiket kapal terbang, resit tukaran wang, wang tunai dalam pelbagai mata wang (RM140, 1,822 yuan dan 4,370 baht), komputer riba Asus TUF Gaming, 49 kad SIM U Mobile, modem Unifi, buku catatan kerja dan sebuah kereta beserta alat kawalan jauh.
Menurut Kumar, siasatan lanjut mendedahkan bahawa sindiket ini mempunyai rangkaian di Laos dan Thailand, dan aktif merekrut rakyat Malaysia termasuk remaja bawah umur untuk menjadi ‘scammer’ dengan tawaran gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan.
“Mereka turut dijanjikan peluang bekerja di luar negara dengan gaji mencecah AS$2,500 (RM10,637.50),” katanya.
Nasib dua remaja yang diselamatkan amat memilukan. Mereka bukan sahaja didera secara fizikal dan seksual, malah turut dipaksa makan cili, dipukul, dibogelkan dan dirakam sebagai bahan ugutan.
“Kesemua perlakuan ini dirakam untuk tujuan ugutan. Kedua-dua remaja yang tidak lagi bersekolah itu turut diugut supaya membayar RM30,000 jika mahu berhenti kerja dan dirancang untuk dihantar ke Van Pak Len, Laos,” tambah Kumar.
Kes ini disiasat di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 5, 10 dan 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Suspek juga berdepan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Harian