Hiburan

Dua Lipa Saman Samsung AS$15 Juta, Dakwa Imej Pada Kotak TV Diguna Tanpa Kebenaran

Share

Penyanyi terkenal, Dua Lipa baru-baru ini mencuri perhatian selepas mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi gergasi Korea Selatan, Samsung Electronics berhubung dakwaan penggunaan imejnya tanpa kebenaran pada kotak pembungkusan televisyen di Amerika Syarikat.

Difahamkan, pelantun lagu ‘Dance The Night’ dan ‘Levitating’ itu menuntut ganti rugi sebanyak AS$15 juta (kira-kira RM64.5 juta) selepas mendakwa wajahnya digunakan bagi tujuan pemasaran produk Samsung.

Memetik laporan CNN, penyanyi berusia 31 tahun itu mendakwa beliau tidak pernah memberikan sebarang persetujuan atau menandatangani perjanjian dengan Samsung untuk membenarkan penggunaan gambarnya pada pembungkusan TV. Malah, pasukan guaman beliau turut mendakwa tindakan tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa Dua Lipa mempunyai kerjasama rasmi dengan jenama berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah yang difailkan di California, imej yang digunakan itu dipercayai diambil ketika persembahan Dua Lipa di Austin City Limits Festival pada tahun 2024. Pasukan penyanyi itu juga mendakwa Samsung gagal mematuhi beberapa permintaan supaya syarikat berkenaan menghentikan penggunaan imej tersebut walaupun notis sudah diberikan berulang kali.

Lebih mencuri perhatian, peminat di media sosial mula memanggil pembungkusan tersebut sebagai “Dua Lipa TV Box” selepas gambar kotak televisyen itu tular di beberapa platform. Malah, ada beberapa pengguna yang mengakui mahu membeli televisyen tersebut hanya kerana wajah Dua Lipa terpampang pada kotaknya.

BACA: “Saya Sukakan Kuala Lumpur” Dua Lipa Pilih Malaysia Antara Negara Paling Menarik Pernah Dilawati

Sementara itu, menurut Samsung Electronics, imej Dua Lipa digunakan bagi mempromosikan kandungan daripada rakan pihak ketiga yang tersedia menerusi platform Samsung TV Plus. Pihaknya menjelaskan gambar tersebut dibekalkan oleh rakan kandungan mereka dan digunakan hanya selepas menerima jaminan bahawa kebenaran rasmi telah diperoleh termasuk untuk kegunaan pada kotak jualan runcit.

Dalam kenyataan sama, Samsung turut menafikan dakwaan salah guna secara sengaja terhadap imej penyanyi itu. 

“Samsung mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Ms. Lipa dan hak harta intelek semua artis. Kami kekal terbuka untuk mencapai penyelesaian yang konstruktif bersama pasukan beliau,” jelas kenyataan tersebut.

Untuk rekod, Dua Lipa merupakan antara selebriti antarabangsa yang aktif menjalinkan kerjasama komersial bersama jenama terkenal dunia seperti Puma, Versace dan Yves Saint Laurent. Malah, beliau juga pernah bekerjasama dengan Apple, Porsche dan Chanel selain kini menjadi duta global untuk Nespresso.

Selain itu, kes saman ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai hak penggunaan imej selebriti dalam dunia pemasaran moden, lebih-lebih lagi apabila nama besar seperti Dua Lipa terlibat. Buat masa ini, kedua-dua pihak masih belum mencapai sebarang penyelesaian rasmi dan kes tersebut dijangka terus menjadi perhatian ramai.

BACA: Dua Lipa Sanggup Berdepan Dengan Kecaman Demi Palestin

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE