Berita

“Dua Askar Tangkap Saya, Kilas Tangan Ke Belakang & Suruh Melutut Selama Sejam” – Sukarelawan Malaysia

Share

Prof Emeritus Dr Moha Alauddin Moha Ali berkongsi pengalaman peritnya selepas ditahan dan dilayan kasar oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

“Dua askar tangkap saya, kilas tangan ke belakang dan seret dalam 200 meter,” katanya, mengimbas detik mencemaskan itu.

Menurut Moha Alauddin, tentera Israel bertindak ganas sebaik kapal mereka tiba di Pelabuhan Ashdod.

“Dia (tentera Israel) suruh melutut selama sejam. Tangan yang dilipat ke belakang itu macam nak patah. Itulah layanan paling kasar terhadap saya selain daripada kena duduk dalam kandang,” ujarnya kepada pemberita.

Selamat Tiba Di Tanah Air

Ketua sukarelawan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition × Thousand Madleens to Gaza (FFC × TMTG) itu selamat tiba di tanah air petang tadi menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 dari Istanbul yang mendarat di KLIA pada jam 4.01 petang.

Selain Dr Moha Alauddin, lapan lagi rakyat Malaysia menyertai misi ini di atas kapal Conscience:

• Dr Fauziah Mohd Hassan

• Dr Hafiz Sulaiman

• Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi

• Prof Dr Mohd Afandi Salleh

• Dr Noorhasyimah Ismail

• Norsham Abu Bakar

• Wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil

Seorang lagi, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad.

“Kami Bukan Hero, Tapi Mahu Dunia Tahu…”

Prof Dr Mohd Afandi Salleh pula menegaskan bahawa mereka hanyalah aktivis biasa yang meneruskan perjuangan sukarelawan global dalam usaha menghentikan kezaliman rejim Zionis.

“Kami di sini bukan sebagai wira, bukan sebagai hero. Tapi kami nak tunjukkan bahawa kerakusan dan kejahatan Israel bukan hanya pada penduduk Gaza, malah kepada seluruh dunia.

“Kami telah ditangkap, diculik di lautan antarabangsa dan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Saya percaya isu Palestin akan buat dunia sedar mengenai kekejaman mereka,” katanya.

“Misi Tak Perlu Sampai Gaza Untuk Berjaya”

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha turut menegaskan bahawa perjuangan membebaskan bumi Palestin akan diteruskan dengan pelbagai cara.

“Misi ini tidak perlu sampai ke Gaza untuk berjaya. Ketika dunia mula memerhati dan kita semua resah tentang nasib rakyat Gaza, objektif misi ini sudah tercapai.

“Israel boleh menahan kapal dan memenjarakan aktivis kita, namun gelombang flotila ke Gaza akan terus belayar dan tidak meruntuhkan semangat solidariti semua,” jelasnya.

Misi Kemanusiaan Dipintas Tentera Zionis

Misi FFC × TMTG disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk Consciencedan Umm Saad. Namun, kapal-kapal tersebut dipintas tentera Zionis kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 8 Oktober lalu.

Tentera Israel bertindak menunda kapal ke Pelabuhan Ashdod sebelum memindahkan aktivis ke penjara Ketziot di Negev, Israel. Insiden berlaku sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Malaysia Kecam Tindakan Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan provokatif Israel itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia.

Pada hari sama, Wisma Putra segera menghubungi Turkiye dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Christopher Landau, bagi mempercepatkan pembebasan sembilan aktivis Malaysia yang ditahan.

Published by
Fath