“Doakan Yang Terbaik” Dayang Nurfaizah Enggan Buka Mulut Tentang Dakwaan Bertunang

Share

Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah baru-baru ini memilih pendekatan berdiam diri apabila diasak dengan persoalan mengenai dakwaan dirinya telah bertunang selepas spekulasi bahawa beliau bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, Dayang atau pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty (44) enggan mengiyakan atau menafikan khabar angin tentang terdapat sebarang tarikh istimewa ditetapkan untuk sebarang majlis perkahwinan seperti yang didakwa.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Sarawak turut menegaskan bahawa satu-satunya tarikh penting buat dirinya kini adalah tarikh dua persembahan eksklusif yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Menara Kuala Lumpur pada 27 September ini.

“Tarikh istimewa yang saya tahu ialah persembahan istimewa kerana saya sudah lama tidak tampil dengan album penuh,” katanya.

“Kali terakhir adalah pada tahun 2017, jadi ini sangat eksklusif,” jelasnya lagi.

Apabila ditanya sama ada beliau kini benar-benar bersedia untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan peribadi, penyanyi yang terkenal menerusi lagu ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ itu hanya memberikan respon ringkas namun penuh makna.

“Doakan yang terbaik untuk saya,” ujar Dayang.

Terdahulu, nama Dayang pernah dikaitkan dengan penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini apabila timbul spekulasi bahawa mereka telah mengikat tali pertunangan secara senyap. Namun, Hael sebelum ini sudah pun tampil menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai konsert ‘Janji With Dayang’, Dayang menjelaskan bahawa beliau memilih konsep persembahan berskala sederhana yang lebih intim agar dapat berinteraksi dengan peminat secara lebih dekat dan mesra.

Pada masa yang sama, Dayang turut meluahkan rasa terharu apabila tiket untuk kedua-dua persembahan tersebut habis terjual dalam masa yang singkat, menandakan sokongan padu yang masih diterima daripada para peminat yang setia sejak awal pembabitan beliau dalam industri muzik.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE