
Bersempena sambutan Deepavali, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 6 dan 7 November ini, bagi membantu meringankan kos perjalanan pengguna lebuh raya.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tersebut akan bermula pada jam 12 tengah malam, 6 November dan berakhir pada jam 11.59 malam, 7 November.
Inisiatif berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas Satu di semua plaza tol, manakala pengguna Kelas Dua turut menikmati potongan sama ketika menggunakan Jambatan Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut.

Bagaimanapun, diskaun tol ini tidak terpakai di plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). Kerajaan turut memperuntukkan pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
Jelas beliau, pemberian diskaun tol pada 6 dan 7 November itu mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya ketika musim perayaan.
Menerusi inisiatif ini, masyarakat beragama Hindu yang ingin pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga sempena Deepavali dapat menikmati sedikit penjimatan kos perjalanan sepanjang tempoh dua hari berkenaan.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sebelum memulakan perjalanan pada 6 dan 7 November. Orang ramai juga perlu memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju serta menjaga jarak selamat antara kenderaan.
Selain itu, pengguna digalakkan mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk sebarang insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Langkah ini penting bagi memastikan perjalanan sepanjang cuti Deepavali berjalan dengan lebih lancar, selamat dan teratur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






