
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dijangka melibatkan peruntukan kewangan kira-kira RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
“Inisiatif ini membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya.

Dalam pada itu, diskaun 50 peratus ini akan berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga 11.59 malam 19 Mac 2026, khusus untuk kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.
Namun begitu, pengecualian diberikan di beberapa lokasi, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Langkah ini adalah selari dengan pendekatan diskaun musim perayaan sebelum ini dan sama seperti yang dilaksanakan semasa sambutan Hari Raya tahun lalu, menandakan tiada lagi pemberian tol percuma seperti sebelum ini.

Pada masa yang sama, kerajaan berharap langkah ini dapat membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan semasa musim perayaan dan memastikan perjalanan balik kampung lebih lancar.
Diskaun tol Aidilfitri 2026 ini juga merupakan langkah strategik kerajaan untuk meringankan tekanan kos sara hidup rakyat, sambil terus menyokong sistem pengurusan lebuh raya secara konsesi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
7 Pelajar MRSM Terbabit Buli Ditamatkan Pengajian, Tiada Peluang Merayu – Datuk Dr Asyraf Wajdi

Baru-baru ini, tujuh pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu ditamatkan pengajian berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu dibuat selepas siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin MRSM mendapati dua pelajar terlibat secara langsung membuli secara fizikal, manakala lima lagi didapati bersubahat.
“Tujuh pelajar didapati terlibat, dua terlibat buli fizikal, lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” kongsinya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa tiada peluang kedua akan diberikan kepada pelaku buli. Beliau berpegang teguh dengan prinsip tegas #YouTouchYouGo yang membawa maksud sesiapa yang melakukan buli, akan terus dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo”
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM,” katanya.


“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil,” jelasnya.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” ujarnya lagi.


Insiden itu mula mendapat perhatian selepas satu video berdurasi 1 minit 31 saat tular di media sosial. Dalam video tersebut, seorang pelajar lelaki kelihatan tertiarap di atas katil dan beberapa pelajar lain menghentak kepala serta badannya. Lebih mengejutkan, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang.
Walau bagaimanapun, pada ketika itu, masih belum jelas sama ada kejadian tersebut sekadar ‘gurauan kasar atau buli sebenar. MARA kemudiannya memulakan siasatan sebaik video tersebut tersebar dan hasilnya membawa kepada tindakan drastik terhadap tujuh pelajar terbabit.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Amaran Hujan Lebat & Ribut Petir Di Enam Negeri, Jangan Ambil Mudah Cuaca Ekstrem!

Amaran hujan lebat MetMalaysia wajar diberi perhatian remaja bagi mengelakkan risiko keselamatan ketika cuaca tidak menentu.
Amaran hujan lebat MetMalaysia: Apa yang perlu remaja tahu
Semasa amaran hujan lebat MetMalaysia, utamakan keselamatan diri sebelum aktiviti. Rancang laluan alternatif, maklumkan ibu bapa atau penjaga, dan sentiasa bawa pakaian hujan serta lampu suluh kecil jika perlu bergerak ketika cuaca gelap.
Amaran hujan lebat dan ribut petir di enam negeri dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini wajar diberi perhatian serius, terutama oleh golongan remaja yang aktif dan sering menjalankan aktiviti luar. Fenomena cuaca tidak menentu ini dijangka berterusan sehingga jam 12 tengah hari dan boleh menjejaskan keselamatan jika diambil ringan.

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook MetMalaysia, keadaan cuaca tersebut melibatkan keseluruhan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan. Di Perak, amaran dikeluarkan untuk beberapa daerah termasuk Kerian, Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak. Sementara itu, di Selangor, fenomena sama dijangka memberi kesan kepada Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat. Di Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Mukah serta bahagian Miri, khususnya daerah Subis dan Miri.
Cuaca Tak Menentu, Jangan Pandang Remeh
Cuaca yang berubah secara tiba-tiba bukan sekadar menyusahkan aktiviti harian, malah boleh membahayakan nyawa. Remaja yang sering berada di luar sama ada ke sekolah, kolej, tempat kerja sambilan, atau bersukan perlu lebih berhati-hati. MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko banjir kilat, angin kencang dan pokok tumbang.
Checklist ringkas ketika amaran hujan lebat MetMalaysia
- Semak ramalan cuaca awal pagi dan sebelum keluar rumah.
- Sediakan pakaian hujan, sarung telefon kalis air, dan beg plastik simpan dokumen.
- Elakkan laluan rendah yang mudah dinaiki air; guna laluan alternatif yang lebih selamat.
- Maklumkan lokasi dan anggaran masa ketibaan kepada keluarga/penjaga.
Antara langkah penting yang boleh diamalkan:
- Semak ramalan cuaca setiap pagi di laman rasmi MetMalaysia.
- Elakkan berteduh di bawah pokok semasa kilat atau guruh.
- Tanggguh aktiviti luar jika langit mula gelap atau berangin kuat.
- Pastikan keselamatan perjalanan, terutama bagi penunggang motosikal atau pengguna jalan raya semasa hujan lebat.
Cuaca Ekstrem Kini Semakin Kerap
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia mengalami perubahan corak cuaca yang ketara disebabkan kesan perubahan iklim global. Fenomena hujan lebat dalam tempoh singkat sering menyebabkan banjir kilat di kawasan bandar, manakala angin kencang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kemalangan jalan raya.
MetMalaysia menjelaskan bahawa amaran ribut petir biasanya dikeluarkan apabila terdapat pembentukan awan kumulonimbus aktif dengan hujan melebihi 20 milimeter sejam, dan ia berpotensi menyebabkan ribut serta kilat berbahaya. Ketika amaran hujan lebat MetMalaysia dikeluarkan, kurangkan pendedahan di kawasan terbuka dan elakkan parkir di bawah struktur tidak stabil.
Tanda-tanda ribut bakal berlaku
- Langit cepat gelap, khususnya awan tebal bertindan.
- Angin tiba-tiba menjadi kencang dan suhu menurun dengan pantas.
- Kilat kerap memancar walaupun hujan belum turun.
Kit kecemasan mini untuk remaja
Simpan power bank, lampu suluh kecil, poncho atau jaket hujan, tisu/kain microfiber, wang tunai kecil, serta nombor kecemasan penting. Letakkan di dalam beg harian supaya mudah dicapai ketika diperlukan.
Cara Semak Info Rasmi
Ikuti kemas kini melalui aplikasi mudah alih, laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia. Ketika amaran hujan lebat MetMalaysia, semak status kawasan anda setiap 30–60 minit, terutama jika hendak memulakan perjalanan jarak jauh atau aktiviti luar.
Remaja Bijak, Sentiasa Bersedia
Golongan muda perlu menjadi lebih peka dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri. Walaupun hujan nampak seperti perkara biasa, risiko sebenar boleh datang tanpa amaran. Jadi, ambil langkah awal jangan tunggu sehingga bencana berlaku. Ingat, cuaca ekstrem bukan sekadar isu orang dewasa. Remaja juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan kesedaran kepada rakan-rakan dan komuniti tentang pentingnya mengambil serius amaran cuaca. Jika amaran hujan lebat MetMalaysia dikeluarkan, utamakan keputusan yang selamat berbanding meneruskan aktiviti yang berisiko.
Amaran hujan lebat dan ribut petir di enam negeri ini bukan sekadar berita harian, tetapi satu peringatan kepada semua remaja supaya lebih bersedia menghadapi perubahan cuaca ekstrem. Sentiasa peka dengan maklumat daripada MetMalaysia dan utamakan keselamatan diri serta keluarga setiap masa. Jadikan amaran hujan lebat MetMalaysia sebagai isyarat untuk bertindak cermat, bukan panik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hanya Voice Note TokTi, Lelaki Malaysia Tunjuk Respon Selepas 5 Hari Koma di Australia

Dalam hidup, ada momen yang tidak dapat dijelaskan secara logik. Detik yang berlaku tanpa dirancang, namun memberi makna besar dan menyentuh hati ramai. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki Malaysia, Aimi Nasruddin, yang secara mengejut menunjukkan respon pertama selepas lima hari koma hanya selepas mendengar voice note daripada penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Kisah ini bermula ketika Aimi dan tiga orang rakannya sedang menikmati waktu santai di Bondi Beach, Sydney, Australia. Dalam suasana santai dan gembira, Aimi tiba-tiba jatuh rebah. Tanpa sebarang amaran, dia diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Mujur pada ketika itu, seorang doktor yang kebetulan berjoging di sekitar lokasi kejadian segera memberikan bantuan CPR.
Aimi kemudiannya dikejarkan ke St Vincent’s Hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Keadaannya pada waktu itu sangat kritikal. Selama lima hari, Aimi langsung tidak memberi sebarang respon. Dia hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, dan tiada siapa dapat menjangkakan sama ada dia akan sedar semula atau tidak.
Disebabkan kekangan perjalanan, ahli keluarganya tidak dapat segera ke Australia. Namun, rakan-rakan Aimi yang berada di sana bergilir-gilir menjaga dan menemaninya di hospital. Dalam usaha untuk memberi semangat dan membuka ruang harapan, ayah Aimi berikhtiar menghubungi beberapa kenalan, dengan harapan dapat menyampaikan satu mesej suara daripada insan yang sangat dikagumi oleh anaknya Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Tanpa sebarang publisiti, dan dengan penuh keikhlasan, TokTi menghantar voice note yang sarat dengan kata-kata semangat dan doa:

“Assalamualaikum Aimi, Aimi dengarkan suara ni, ni kak Siti ni, kak Siti nak Aimi jangan sedih, kena kuatkan semangat, ingat Allah, selawat banyak-banyak dalam hati. Kak Siti doakan Aimi cepat sembuh, Allah angkat segala sakit Aimi. InsyaAllah ada rezeki kita jumpa, Aimi be strong okay, Allah ada bersama Aimi, jangan risau.”
Tangan bergerak pertama kali selepas koma
Voice note itu diputarkan kepada Aimi ketika dia masih koma. Dan inilah detik yang dianggap paling ajaib oleh semua yang terlibat. Sejurus selepas mendengar mesej tersebut, tangan Aimi mula bergerak buat pertama kali sejak koma lima hari sebelumnya. Respon itu menjadi petanda awal bahawa kesedarannya mula kembali.
Perkongsian menyentuh hati ini dimuat naik sendiri oleh Aimi menerusi akaun Instagram miliknya setelah keadaan kesihatannya stabil. Dalam hantaran tersebut, Aimi turut menzahirkan rasa terima kasih kepada TokTi atas voice note yang sangat bermakna itu, serta menyatakan rasa syukurnya kerana diberi peluang kedua untuk hidup.
“Betul-betul semasa 20 hari lepas, ayah saya cuba cari kawan-kawan saya untuk dapatkan voice note daripada TokTi, dengan harapan saya dapat memberikan respon yang positif sebab masa tu saya memang tak sedar langsung,” tulisnya.
Selepas beberapa minggu menjalani rawatan intensif di Australia, Aimi akhirnya dibenarkan pulang ke tanah air. Kini beliau sedang melalui proses pemulihan secara berperingkat, dan berkongsi kisahnya sebagai inspirasi kepada orang ramai.
Kisah ini bukan sahaja membuktikan kekuatan kasih sayang, usaha dan doa, tetapi juga memperlihatkan betapa kata-kata yang lahir daripada hati mampu memberi kesan luar biasa kepada jiwa manusia. Dalam kes ini, suara lembut dan penuh makna dari seorang tokoh seni yang disayangi rakyat Malaysia, telah mencipta satu keajaiban kecil dalam hidup seorang pemuda.
Buat remaja hari ini, kisah Aimi Nasruddin memberi peringatan bahawa harapan tidak pernah padam. Dalam situasi paling gelap sekalipun, sedikit sinar mampu mengubah segalanya. Kadangkala, harapan itu hadir dalam bentuk yang paling tidak dijangka — seperti sebuah voice note dari insan yang kita kagumi.
Sumber: Instagram @aimimiloma
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

