
Usia yang masih muda bukan penghalang untuk mencipta pencapaian luar biasa. Itulah yang dibuktikan oleh seorang pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisham, apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk hanya dalam tempoh sehari.
Lebih mengagumkan, remaja berusia 16 tahun itu bukan sahaja menamatkan hafazan dengan lancar, malah meraih pangkat Mumtaz tanpa sebarang kesalahan, sekali gus mencetuskan rasa kagum dalam kalangan masyarakat.

Kehebatan Ahmad Fikri pantas mencuri perhatian warga maya apabila berita tersebut tular di pelbagai platform media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja, terharu dan bangga, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang luar jangka bagi anak muda seusianya.
Di sebalik kejayaan luar biasa itu, terselit kisah didikan keluarga yang berteraskan ilmu dan nilai agama. Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
Tinjauan Remaja di media sosial mendapati ribuan komen positif membanjiri ruangan komen, dengan ramai menyifatkan Ahmad Fikri wajar diangkat sebagai ikon anak Kelantan serta contoh terbaik generasi muda yang membesar dengan al-Quran sebagai teras kehidupan.

Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen berterusan ibu bapa, guru serta Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
“Tahniah diucapkan kepada Ahmad Fikri Abdul Hisham. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada ibu bapa, para guru serta YIK atas usaha berterusan melahirkan generasi huffaz yang unggul. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kelantan,” katanya.
Sesungguhnya, kisah Ahmad Fikri membuktikan bahawa apabila ilmu, disiplin dan keikhlasan disatukan, usia bukan ukuran untuk mencapai kejayaan luar biasa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














