“Dia Anak Kandung Saya” –Dakwaan Melampau, Kamal Adli Tegas Pertahankan Maruah Keluarga

Share

Aktor popular, Kamal Adli tampil bersuara mempertahankan maruah keluarganya selepas tular dakwaan tidak berasas yang mempersoalkan status anak perempuannya, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun.

Menegaskan bahawa Hawra merupakan anak kandungnya yang sah hasil perkahwinan bersama isteri, Uqasha Senrose, Kamal menyifatkan tuduhan tersebut sebagai sesuatu yang keterlaluan dan tidak wajar sama sekali.

“Ini sangat melampau. Terlalu melampau untuk manusia normal dan sebagai orang Muslim.

“Dia (Hawra) anak kandung saya,” katanya menerusi platform Threads.

Selain itu, pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhemah ketika meninggalkan komen, khususnya di media sosial.

“Tolong manusia, kalau tiada apa yang baik untuk ditulis. Jangan sampai ke tahap ini,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai respon terhadap komen seorang individu yang mendakwa Uqasha melahirkan anak yang bukan darah daging Kamal.

“Entah-entah anak orang lain yang dikandung tetapi Kamal menutup maruahnya dengan tak memberi kenyataan apa-apa pun,” dakwa individu tersebut.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada

4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, sebelum dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Namun begitu, pada 1 Oktober lalu, Uqasha dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman serta masalah rumah tangga yang dikatakan berlaku sejak April 2025.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath