Inpirasi

Nylea Dinobatkan Juara Dewi Remaja 2025

Share

Baru-baru ini, pencarian Dewi Remaja melakar satu lagi sejarah apabila Nylea dinobatkan sebagai juara bagi tahun 2025, sekaligus mengukuhkan namanya sebagai wajah baharu yang bakal mencorak landskap hiburan tempatan pada masa akan datang.

Menurut Nylea atau pemilik nama sebenar Nylea Binti Adzlan (23), beliau mengakui kemenangan itu bukan sekadar trofi, tetapi simbol hasil usaha tanpa henti sepanjang hampir empat bulan berentap dalam setiap cabaran mingguan pencarian ikonik tersebut.

“Saya rasa sangat bersyukur kepada Allah sebab semua usaha selama hampir 4 bulan ini telah membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui Remaja selepas malam final Dewi Remaja 2025 yang berlangsung di Royal Theater Shah Alam.

Mengimbas detik kemenangannya, anak kedua daripada tiga beradik ini sememangnya terkenal sebagai gadis yang sentiasa meletakkan standard tinggi terhadap diri sendiri. Antara prinsip peribadinya adalah ‘melakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang dibuat’ sentiasa menjadi pegangan dirinya sepanjang menghadapi cabaran.

“Bila saya amal perkara ini, saya bangga dengan diri saya sendiri sebab boleh kekal bertahan… mungkin itu salah satu sebab saya jadi juara pada malam ini,” ujarnya lagi.

Di sebalik pencapaian ini, Nylea yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan dirinya tidak terburu-buru mengejar populariti. Beliau yang juga aktif dalam kelab kebudayaan dan tarian di universiti  ini meletakkan pendidikannya sebagai keutamaan.

“Benda pertama yang saya nak buat selepas ini adalah habiskan degree dulu. Kemudian baru saya ceburi dunia hiburan,” jelasnya ringkas.

Walaupun begitu, masa depan dalam industri seni tetap berada dalam radar Nylea. Dengan personaliti yang bercampur disiplin dan cita-cita besar, beliau tidak menolak kemungkinan akan muncul di layar perak suatu hari nanti.

“InsyaAllah lepas ini mungkin kalau korang pergi pawagam akan nampak muka saya?” selorohnya sambil ketawa.

Selain dunia glamor, sebelum ini Nylea turut aktif dalam kerja sukarelawan mengajar kanak-kanak kurang berkemampuan menunjukkan satu sisi dirinya yang jarang diketahui ramai. Bagi Nylea, kemenangan ini bukan hanya tentang kecantikan visual, tetapi keberanian mencabar persepsi orang yang menyangka dirinya pemalu dan pendiam.

Sementara itu, menurut ibunya pula, keperibadian Nylea bukan perkara baharu, malah telah lama menjadi kebanggaan keluarga. “Dia ini memang jenis kalau buat sesuatu memang akan buat sehabis mungkin dan habis-habisan. Jadi, she deserves it!” kata wanita itu yang turut menjadi antara pendorong terbesar dalam perjalanan Nylea.

Dengan pencapaian terbaru beliau sebagai Dewi Remaja 2025, jelas bahawa Nylea kini berada di landasan kukuh untuk mengembangkan potensi diri. Sama ada di pentas akademik, seni atau khidmat masyarakat, perjalanan gadis ini baru sahaja bermula dan peminat pasti tidak sabar menyaksikan ke mana arah tujunya selepas ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE