Masalah tulang bengkok bukan soal kesihatan yang boleh diabaikan. Hanya mereka yang mengidapnya akan tahu betapa sakitnya apabila tulang membentuk seperti huruf S.
Begitulah yang dilalui oleh seorang remaja berusia 13 tahun di India yang terpaksa menangung ‘kepala senget’ sebelah pada sudut 90 darjah selama berbelas tahun.
Image: afsheengul786/Instagram)
Namun, bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila kini remaja ini dilapor dapat menjalani pembedahan kepalanya di Hospital Apollo, New Delhi, India dengan kos sebanyak £26,000 (RM142,277.78). Hal ini setelah satu akhbar tempatan di sana ada berkongsikan mengenai masalah yang dihadapi oleh Afsheen.
Malah dari situlah satu laman telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana perubatan bagi merawat masalah kepala senget sebelah remaja berkenaan.
Risiko Hanya 50% untuk hidup
Bagaimanapun menurut pihak hospital, Afsheen hanya mempunyai peluang kurang daripada 50 peratus untuk hidup jika dia menjalani prosedur pembedahan itu.
Ads
Namun, nasib menyebelahi remaja itu apabila dia berjaya menjalani pembedahan tersebut dengan selamat.
Selepas pembedahan Image: afsheengul786/Instagram)
Remaja ini memang bertuah. Afsheen yang menghidap cerebral palsy itu kini berada dalam keadaan sihat. Dia turut meluahkan rasa terima kasihnya kepada orang ramai menerusi satu posting di laman Instagram miliknya.
“Terima kasih Dr. Rajagopalan Krishnan kerana memberi saya kehidupan baru,” tulis Afsheen menerusi laman Instagram.
Ads
Menurut laporan Daily Star., Afsheen Gul yang berasal dari Pakistan itu menderita masalah ini sejak dia berusia lapan bulan.
Difahamkan, Afsheen terdahulu dilahirkan dalam keadaan sihat. Namun satu kejadian tidak disengajakan ketika dia masih kecil telah berlaku. Dia didakwa pernah jatuh tergelincir ketika masih kecil lalu menyebabkan kepalanya menjadi senget sebelah sebanyak 90 darjah.
Moga adik Afsheen terus sihat dan boleh menjalani hidup seperti orang biasa.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bila sebut Melaka, mesti terbayang di dalam kepala menu asam pedas tetel yang sedap kan? Tak kurang juga tempat-tempat bersejarah memandangkan negeri ini berstatus bandar bersejarah.
Bukit St Paul di sini kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Melaka.
Mengikut fakta sejarah, Bukit Melaka dikenali sebagai Bukit St Paul kini. Dipercayai bukit tersebut sebenarnya dinamakan bukit Melaka sejak dari zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah lagi. Namun apabila Portugis menjajah Melaka, mereka menukar nama bukit tersebut kepada nama paderi terkenal di Nusantara ketika itu.
Terkini, melalui perkongsian di laman web Melaka Hari Ini, Bukit St Paul, salah satu lokasi ikonik di Melaka kini akhirnya kembali dikenali dengan nama asalnya, Bukit Melaka.
Kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman, pihaknya sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah menamakannya sebagai Bukit Melaka.
Pemasangan papan tanda tersebut adalah untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong yang berkunjung di negeri tersebut.
“Memang nama asalnya ialah Bukit Melaka yang dinamakan sewaktu zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.”
“Namun, nama tersebut telah ditukar memandangkan ia berdekatan dengan gereja St Paul semasa zaman penjajahan,” tambahnya semasa dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Menurut laporan, sudah banyak pihak yang mengemukakan cadangan kepada Perzim untuk menukar nama asal bukit tersebut.
Menurutnya, Perzim telah melengkapkan kertas kerja untuk menukarkan nama asal Bukit Melaka dan tindakan kelulusan kerajaan negeri nanti.
“Cadangan menukar nama Bukit Melaka ini sudah dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri, cuma tinggal untuk mewartakan nama asalnya sahaja.”
Pernah dijajah oleh pihak Portugis dan Belanda kerana kedudukannya yang strategik, Melaka juga salah satu tempat yang terkenal dalam kalangan pedagang antarabangsa di Timur. Pedagang dari Arab, China dan India sering singgah di Melaka dan disebabkan itulah juga Melaka mempunyai kepelbagaian budaya selain 3 kaum utama di Malaysia.
Melaka merupakan salah satu destinasi yang sangat menarik dan istimewa. Baik dari segi tempat tarikannnya mahupun makanan, semuanya ada di Melaka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sesekali memang ada satu peristiwa yang membuatkan kita rasa ingin syer dengan orangkan. Sekitar tengahari tadi, seorang gadis @humanxsick telah tweet di bebenangnya memaklumkan dia rasa nak menangis selepas telefon bimbitnya jatuh ke dalam jamban.
Meminta agar diberikan kata-kata semangat untuk dia terus kuat menghadapi ujian ini tambahan pula telefon kesayangannya itu adalah milik bapanya.
Rupanya, ada macam-macam petua diberi untuk memastikan telefon kembali berfungsi semula. Ini termasuklah menyuruhnya meletak telefon di dalam beras bagi memastikan telefonnya kembali seperti sedia kala.
Membaca komen-komen netizen ini adakalanya menggelikan hati. Tak pastilah pula, adakah benar kalau telefon jatuh ke dalam air dan untuk keringkannya mesti letak di dalam dalam beras. Ada sesiapa pernah cuba ke teknik ini?
Walaupun diuji telefon jatuh ke dalam lubang jamban tetapi gadis ini masih mampu berjenaka sedikit.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehidupan diuji akibat kecuaian orang lain. Sejauh mana pun hati memberontak namun masa tak akan terundur.
Hakikat pahit namun perlu ditelan seorang remaja, Nur Atira Danilla binti Saiful Azhari, 19 tahun apabila dia kini terlantar sepenuh masa sejak lima bulan lalu dengan sebelah kakinya berisiko dipotong sehingga ke paras peha selepas motosikal ditunggangnya dilanggar seorang lelaki dewasa yang mengaku terlelap ketika memandu kereta.
“Saya tak nak potong kaki. Saya mahukan kaki ini kembali sembuh seperti sebelum ini. Mama, saya tak nak potong kaki,” katanya berulang kali di hadapan wartawan REMAJA sambil memandang wajah ibunya, seolah mahukan sebuah harapan.
Kaki kanan Nur Atira berisiko dipotong selepas diseret sejauh 100 meter akibat motosikalnya dilanggar pemandu kereta terlelap
Jika dilihat pada besi-besi yang berceracak di kaki kanannya itu, kecederaan dialami Nur Atira sebenarnya amat parah. Tulang ketingnya hancur selepas diserat sejauh 100 meter. Malah tulang hancur itu telah dibuang melalui satu pembedahan sebesar 5.5 cm di mana dapat dilihat satu lubang besar terbentuk, seolah-olah satu kawah di bahagian keting kanannya.
Tidak setakat keting, tulang punggungnya turut dibuang sebanyak 5 cm sebelum dipasangkan satu batang besi panjang di kaki kanannya itu. Lebih menyakitkan di bahagian punggungnya ada jangkitan kuman dan sudah bernanah memaksa satu lagi pembedahan dilakukan. Kakinya juga semakin mengecil seolah-olah memberi petanda, ia sukar diselamatkan lagi.
Tulang ketingnya hancur dan perlu dibuang sebanyak 5.5 cm kesan seretan itu.Luka besar dapat dilihat pada kaki kanannya
Tidak hanya parah di kaki, tapi pergelangan tangan kanannya turut terkulai-kulai (hampir putus sebenarnya) sebelum dipasang dawai besi. Malah tangan itu juga sudah tidak kuat untuk menggenggam. Tidak hanya lengan tapi lengan remaja ini turut patah tebu selepas diseret sejauh 100 meter.
Beginilah keadaan lengannya yang terkulai ketika kemalangan sebelum pemasangan dawai dilakukan bagi mencantumkannya kembali. Bagaimana pun tangan ini sudah tidak kuat menggenggamBeginilah keadaan motosikalnya selepas diseret sejauh 100 meter dalam kemalangan di Melaka itu
Kunjungan REMAJA di hospital menyingkap kisah duka remaja yang mencari rezeki untuk kehidupannya dan juga kehidupan keluarga selepas habis SPM. Pada hari kejadian, dia mahu ke sekolah memandu untuk belajar kereta.
Malangnya kecuaian orang lain menjadi igauan ngeri buat remaja ini. Kemalangan itu hanya disedari ahli keluarganya kerana ketika itu masing-masing keluar bekerja apabila pihak sekolah memandu menelefon ibunya bertanya kenapa anaknya tidak hadir ke sekolah memandu sedangkan ketika itu dia nyawa-nyawa ikan.
Redup anak matanya di sebalik wajahnya yang cantik. Namun hakikat pahitnya, kaki remaja ini sudah disyorkan dipotong sehingga paras peha oleh Hospital Melaka selepas kemalangan berlaku 22 Mei lalu.
Namun mahukan sebuah keputusan lain, ibunya, Rahasuhailawati Abdollah, 42 nekad membawa anak sulungnya ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pilihan kedua.
Di HKL dan Hospital Melaka, demi memastikan survival dan kaki kanannya pulih seperti sedia kala, remaja cantik ini sudah menjalani pembedahan lebih 10 kali. Ini termasuklah kulitnya dipotong dan ditampal.
Pembedahan terakhir yang lakukan ialah salur darah tiruan dan andai berjaya ia adalah satu harapan baru untuknya. Namun selepas beberapa bulan, hanya isi daging mulai tumbuh dengan lekuk kawah itu masih seperti dahulu juga, tidak berubah sebaliknya semakin mengecil.
Ibunya sudah menjaga Nur Atira berbulan-bulan di hospital dan masa yang sama tersepit kerana cuti diberi majikannya (unpaid leave) hanya tiga bulan atau tempatnya digantikan orang lain
Menurut ibu yang setia menjaganya di hospital sejak kemalangan terjadi dengan ibunya sendiri berisiko dibuang kerja kerana kilang tempatnya bekerja hanya memberikan masa tiga bulan sahaja cuti tanpa gaji.
“Kehidupan kami memang susah ketika ini. Sebelum ini ayahnya (suami) turut dilanggar lari dan ditemui pengsan dalam perjalanan ke tempat kerja. Tulang rusuknya patah dan tak bekerja lebih 4 bulan bulan November tahun lalu. Cuti saya pun sudah habis menjaganya. Sekarang ini suami tak boleh bekerja kuat kerana tulang rusuknya tak pulih sepenuhnya lagi dan perlu pakai pendokong.
“Bila saya sendiri tak bekerja dan menjaga Atira di hospital, susah itu berganda-ganda. Saya memang risaukan keadaannya kerana Atira memang tak mahu kakinya dipotong sedangkan sudah berbulan-bulan begini dengan kakinya semakin mengecil tapi belum ada sebarang perubahan besar dapat dilihat.
“Buat masa ini ketika mendapat rawatan di hospital, ada peguam datang dan mahu membantu untuk menyaman pemandu ini tapi saya difahamkan kesnya akan makan masa panjang dan bertahun-tahun tetapi saya lebih risaukan emosinya yang akan menangis kesedihan,”katanya yang mengusap wajah anak sulungnya itu.
Setiap hari Atira perlu melakukan senaman ringan agar saraf kakinya berfungsi (ini demi mengelak kakinya dipotong). Di kaki kanannya itu kelihatan jelas besi-besi dicucuk bagi membantu tulangnya yang hancur bertaut kembali.
Remaja ini menderita angkara kecuaian orang lain
Kata emaknya, agak susah juga sebenarnya untuk menyakinkan Atira tentang hakikat ada kemungkinan kakinya perlu dipotong kerana berdasarkan situasi semasa tiada perubahan ketara terjadi.
“Di HKl ini, ada ketika pembedahan memerlukan banyak wang termasuk doktor ada meminta disediakan RM5000 sedangkan kami sudah tiada sumber pendapatan lain kecuali suami dengan gaji RM1400 sebulan. Risau dengan keadaan Atira kerana dia sendiri begitu mengharap kakinya kembali sembuh. Hanya doa yang saya mampu lakukan,”kata Rahasuhailawati yang mengakui risaukan keadaan sulungnya itu.
“Saya merayu kepada mana-mana individu yang bermurah hati untuk menderma demi meringankan bebanan kewangan kami kerana pembedahan demi pembedahan ini memerlukan sejumlah wang yang banyak. Saya akui buntu mencari sumber kewangan,” katanya lagi.
Bagi anda yang ingin membantu, salurkan bantuan ke Hong Leong Bank di akaun 026-51-05348-0 atas nama Rahasuhailawati binti Abdollah. Semoga Allah membalas jasa kalian.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!