
Setiap individu pasti mempunyai kisah tersendiri tentang perkara paling luar biasa yang pernah dilakukan demi insan yang dicintai. Bagi pelakon kacak, Ikmal Amry, pengorbanan yang dilakukannya bukanlah sesuatu yang kecil.
Baru-baru ini, aktor berusia 31 tahun itu berkongsi kisah kehidupannya sebelum mengecap populariti dalam industri seni dan mendirikan rumah tangga menerusi sebuah ciapan di Threads.
Menerusi hantaran tersebut, seorang pengguna Threads mengajukan soalan mengenai perkara paling luar biasa yang pernah dilakukan seseorang demi insan tersayang.
“Apa perkara yang paling gila anda semua pernah buat sebab suka pada seseorang?
“Jangan malu. Yang tak logik pun tidak mengapa, semua jawapan diterima,” tulis seorang.
Perkongsian itu bagaimanapun menarik perhatian Ikmal yang tampil memberikan jawapan jujur mengenai pengorbanan terbesar yang pernah dilakukannya demi wanita yang kini bergelar isterinya.
Menurut bekas peserta Hero Remaja itu, dia sanggup meninggalkan dunia dan kehidupan lamanya untuk mengejar masa depan bersama insan yang dicintai.
Malah, keputusan besar itu dibuat ketika usianya masih muda.
“saya tinggalkan dunia saya dibelakang untuk dia (isteri).
“Saya mengejar masa depan bersama dia. Dan ketika itu, saya hanya berusia 26 tahun,” tulisnya.
Perkongsian ringkas itu nyata menyentuh hati ramai warganet yang melihat ia sebagai satu bentuk pengorbanan besar dalam sebuah hubungan.
Untuk rekod, Ikmal sah bergelar suami kepada Najla Shamsul pada 19 Disember 2020 dalam sebuah majlis yang berlangsung di kediaman keluarga pengantin perempuan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata dan bakal menimang kehadiran anak ketiga dalam masa terdekat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Threads