
Kisah ngeri yang dikongsikan oleh delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang dijadikan tahanan tentera Zionis Israel cukup untuk membuatkan bulu roma meremang dan perasaan menjadi luluh.
Dalam pertemuan bersama Astro Awani yang berada di Istanbul, Turkiye; beberapa wakil delegasi berkongsi detik getir apabila badan menjadi lemah kerana dehidrasi sebelum masing-masing dipaksa untuk mendapatkan sumber minuman daripada mangkuk tandas di dalam sel penjara.
Delegasi adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi merasai pengalaman berkenaan dan biarpun diasak secara kejam oleh phak tentera, mereka tetap cekal untuk berdepan kezaliman berkenaan.
“Keadaan di atas kapal dan di darat sangat-sangat berbeza. Tentera darat sangat dasyat dan kejam. Kami diikat tangan di belakang (taktik commando rest) entah berapa jam dan akhirnya, kami minum dan makan pada 1 Oktober.
“Selepas itu, kami tidak lagi dapat minum atau makan. Di dalam penjara itu sendiri, kami dah rasakan mungkin kami ini akan mati disebabkan tiada air. Saya bercakap dengan mereka untuk berikan kami air kerana kami dehydrated. Kami tiada pilihan dan kami minum air tandas.”
Bagi seorang delegasi lelaki iaitu Haikal Zulkefli yang merupakan aktivis tempatan di atas kapal Free Willy, pengalaman tersebut turut dirasainya dalam sel penjara lelaki.
“Pengalaman dalam penjara bersama seorang lagi rakan dari Malaysia dan seorang lagi daripada negara lain. Sebelum masuk penjara, kami sudah lakukan hunger strike
dengan tidak makan atau minum kerana kita juga ingin tahu perasaan rakyat Palestin yang tidak makan atau minum.“Apabila kita minta air mineral, mereka tidak bagi dan meminta kami untuk minum air jamban sahaja. Hampir sehari lebih kita duduk di dalam penjara, kita minta air mineral kerana kita nampak ahli tentera dapat. Mereka katakan, ‘I don’t care, you must drink toilet water’.
“Disebabkan badan kita lemah dan dehydrated kerana tidak makan atau minum sejak interception berlaku. Lagipula perlu duduk di bawah matahari dan melakukan commando rest; jadi kami minum sahajalah air jamban itu,” katanya.
Sebagai konteks, misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, yang belayar menuju Gaza untuk membawa bantuan kemanusiaan seperti makanan dan ubat-ubatan. Ia juga merupakan simbol solidariti dunia terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
Kesemua 23 aktivis Malaysia telahpun selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.