Death Whisper Papar Kisah Buli Pelajar Yang Berakhir Dengan Tragedi Seram

Share

Death Whisper merupakan sebuah filem remake Indonesia dari filem seram Korea, Whispering Corridors pada tahun 1998.

Mengisahkan tentang dua orang pelajar baru, Alex dan Maggie bersekolah tinggi eksklusif yang melahirkan ramai insan-insan ternama dan berpengaruh. Malangnya, mereka dibuli oleh pelajar senior, Andre, Erika dan Fahri.

Alex dan Maggie, pelajar baru

Alex merupakan anak kepada seorang ahli psikik yang boleh melihat makhluk halus dan apabila senior mereka dapat tahu tentang perkara ini, trio tersebut memaksa Alex untuk melakukan ritual, kesilapan berlaku menyebabkan satu roh jahat mula mengganas di sekolah mereka.

Kes buli yang melampau

Boleh dikatakan konflik utama yang ada dalam filem ini adalah berkenaan dengan masalah buli di sekolah. Bukan sesuatu perkara yang baru, dan bukan juga hanya berlaku di Indonesia, kami percaya bahawa kes buli merupakan antara masalah yang dihadapi oleh semua masyarakat dunia.

Dan paling membimbangkan bila berlakunya kematian disebalik masalah ini. Teringat pula kami kepada kisah Zulfarhan yang berlaku sendiri di negara kita.

Sememangnya kisah teladan yang diangkat dalam filem ini membuatkan penonton berfikir bahawa kes buli ini bukanlah satu masalah yang ringan.

Jadi, kami harap sesiapa yang menonton filem ini nanti dan suka membuli, korang akan sedar bahawa kelakuan buli itu bukanlah boleh dibuat main-main dan kesannya sangat serius kepada mangsa. Seram wey!

Jalan cerita mudah dibaca

Walau bagaimanapun, sepanjang menonton Death Whisper ini, kami agak terganggu sedikit dengan kesan bunyi yang dirasakan agak keterlaluan. Terlalu bingit dan mengganggu penonton yang berada di dalam panggung wayang.

Kadang scene tak ada la seram mana, tapi bunyinya pula yang over hehe.

Jalan ceritanya yang mudah dibaca juga membuatkan kami semakin ingin tahu apa kesudahan filem seram ini.

Penceritaan filem yang pada mulanya agak perlahan, namun sikit demi sedikit ia dapat membangunkan mood excited penonton apabila satu demi satu babak yang dipaparkan membuatkan kami rasa tak senang duduk.

Tapi, apa yang membuatkan kami sedikit pelik, sekolah yang sikit punya besar tapi pelajarnya macam kurang dari 50 orang je. Ada juga part yang buat kami fikir, mana pelajar lain? Cuti semester ke? Hiks!

Cuma bab terkejut tu, memang kami beri 5 bintang.

Secara keseluruhannya, filem ini memang berbaloi untuk ditonton dan jangan lupa serang pawagam terdekat bermula 22 Ogos ini.

***

Hey Girls, We’re Back!

IKLAN