Berita

Dato’ Siti Nurhaliza Kini Diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara

Share

Biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats. Pengiktirafan ini membuktikan takhta penyanyi nombor satu negara itu masih kukuh meskipun telah lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.

Terkejut Tapi Bersyukur

Berita ini diumumkan melalui laman Instagram rasmi SeaAsia Stats semalam, dan Siti sendiri mengakui terkejut apabila mendapat tahu.

“Saya pun baru tahu. Alhamdulillah, terima kasih. Saya pun tak fikir pasal ini kerana sibuk. Tapi kalau ada pihak yang menghargai, saya bersyukur. Saya bekerja selama ini pun kerana cinta dan minat saya terhadap muzik,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Pickleball Paddle For Hope

anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena.

Takhta Masih Kukuh

Menurut SeaAsia Stats, pengiktirafan ini diberikan kerana Siti berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai artis Malaysia yang relevan, popular, dan masih laris sehingga ke hari ini. Malah, prestasinya pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001.

Lebih membanggakan, Siti juga pernah berada di tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia yang menerima anugerah terbanyak — satu pencapaian yang jarang dicapai oleh artis Asia Tenggara.

Legenda Dengan Jejak Emas

Walaupun sudah berada di puncak, Siti menegaskan pengiktirafan ini tidak akan mengubah fokusnya dalam berkarya. Baginya, minat mendalam terhadap muzik tetap menjadi penggerak utama sepanjang perjalanan karier.

Sebelum ini, beliau turut menerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Inspirasi Buat Generasi Muda

Kisah kejayaan Siti Nurhaliza adalah bukti bahawa kerja keras, disiplin dan keikhlasan mampu membawa seseorang ke puncak. Daripada lagu Jerat Percintaan sehingga kini, beliau terus relevan merentas generasi.

Tidak hairanlah mengapa Siti terus menjadi role model buat remaja — bukan sahaja sebagai artis, tetapi juga sebagai individu yang rendah hati dan berpengaruh besar. Beliau membuktikan bahawa anak seni dari Malaysia juga boleh mengangkat nama negara hingga ke pentas antarabangsa.

Selain Siti, agensi sama turut menyenaraikan penyanyi legenda Indonesia, Iwan Fals sebagai ikon muzik protes yang menjadi suara rakyat sejak era 1980-an.

Published by
Nana