
Menerusi temu bual bersama Molek FM, Dato’ Fazley Yaakob berkata wanita berasal dari Kelantan menjadi perhatiannya serta memiliki kulit yang putih.
Dalam perbualan tersebut, beliau tanpa berselindung mengakui bahawa wanita dari Pantai Timur, khususnya Kelantan, menjadi antara yang paling menarik perhatiannya sejak sekian lama.
Menurut beliau, wanita dari Kelantan mempunyai kecantikan semula jadi yang tersendiri serta aura lembut yang sukar digambarkan. Kulit cerah yang sering dikaitkan dengan wanita Pantai Timur turut menjadi salah satu faktor tarikan utama baginya.
“Saya memang suka perempuan yang putih-putih, comel. Mungkin sebab dari kecil saya banyak travel ke luar negara. Jadi bila tengok di Malaysia, yang paling dekat dengan ‘mat salleh look’ ni, ramai sebenarnya di Kelantan,” katanya bersahaja.
Pengakuan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, ada yang bersetuju dan ada juga yang menganggap kenyataan itu sebagai pandangan peribadi yang disampaikan secara terbuka.
Namun begitu, Dato’ Fazley Yaakob menegaskan bahawa kecantikan seseorang wanita bukan hanya terletak pada warna kulit semata-mata. Bentuk badan juga memainkan peranan penting dalam daya tarikan dan keserasian.
Beliau mengakui lebih tertarik kepada wanita yang mempunyai isi dan tidak terlalu kurus, malah menganggap bentuk badan yang sedikit chubby kelihatan lebih natural.
“Tak boleh kurus sangat. Kena ada isi sikit. Chubby-chubby tu okay,” katanya sambil ketawa, menceriakan suasana temu bual.
Menariknya, apabila ditanya sama ada beliau lebih cenderung kepada wanita selebriti atau orang biasa, jawapannya cukup jelas dan tanpa ragu-ragu.
“Kalau boleh, saya nak orang yang bukan dalam line saya. Selebriti tu nombor dua. Saya nak orang yang kehidupan dia berbeza daripada saya,” katanya jujur.
Menurut beliau, hubungan dengan individu di luar industri hiburan memberi keseimbangan emosi serta perspektif hidup yang berbeza daripada dunia glamor yang sudah sebati dengannya.
Isu pasangan jarak jauh turut disentuh, termasuk cabaran perjalanan jauh setiap kali musim perayaan, terutamanya jika pasangan berasal dari Pantai Timur.
Apabila ditanya sama ada sanggup menempuh perjalanan berjam-jam demi cinta, beliau memberikan jawapan berseloroh namun penuh makna.
“Orang kata demi cinta, lautan api pun sanggup redah. Tapi tu biasanya cakap orang yang belum dapat,” ujarnya sambil tersenyum.
Dalam nada lebih santai, beliau turut berkongsi pengalaman berkenalan dengan wanita Pantai Timur menerusi media sosial, namun realitinya tidak selalu seperti yang dipaparkan di Instagram.
“Gambar lain, jumpa depan-depan lain. Sampai saya ingat saya tersalah cari orang,” katanya sambil ketawa.
Walaupun begitu, pengalaman tersebut dianggap sebagai asam garam dunia perkenalan moden yang semakin biasa pada masa kini.
Bagi beliau, kulit cerah, bentuk badan berisi dan personaliti orang biasa mungkin menjadi tarikan, namun akhirnya keserasian, keikhlasan dan persefahaman tetap menjadi penentu utama kebahagiaan dalam perhubungan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.