
Kisah perjuangan seorang graduan perubatan, Dr. Saundarya, mengundang rasa bangga dan sebak ramai, termasuk Menteri Sumber Manusia Malaysia, Steven Sim Chee Keong yang pernah menerima rayuan bantuan daripada pelajar itu sendiri.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Steven Sim mendedahkan beliau dijemput secara peribadi oleh keluarga Dr. Saundarya ke majlis konvokesyen anak mereka sebagai tanda penghargaan.
Menurutnya, beliau masih mengingati detik ketika menerima sepucuk surat daripada Saundarya yang terdesak mahu melangsaikan yuran pengajian beberapa hari sebelum peperiksaan akhir.
Steven turut berkongsi kisah menyentuh hati ketika beliau sendiri mengunjungi kediaman keluarga tersebut bagi membantu melunaskan yuran tertunggak.
“Ketika saya melawat rumah mereka untuk membayar hutang yuran pengajian itu, ayah berkata, dia pemandu lori, ayahnya pula penoreh getah tapi dia nak supaya anaknya berjaya dalam hidup,” katanya.
Lebih membanggakan, Saundarya bukan sekadar menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, tetapi turut meraih pingat pelajar cemerlang dan tiga kali menerima Anugerah Dekan sepanjang lima tahun pengajian.
Difahamkan, Dr. Saundarya bakal memulakan tugas di sebuah hospital di Pulau Pinang minggu hadapan.
Dalam pada itu, Steven Sim turut menitipkan pesan penuh makna buat doktor muda ini agar terus berbakti kepada masyarakat dan sentiasa mengenang pengorbanan ibu bapa.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut mendoakan kejayaan kerjaya Dr. Saundarya sambil menyatakan bahawa dunia kini amat memerlukan tenaga perubatan yang berdedikasi sepertinya.
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa terharu dan tumpang bangga atas kejayaan Dr. Saundarya yang berjaya mengatasi kesulitan hidup demi mengejar cita-cita.
Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Steven Sim atas keprihatinan dan bantuan yang diberi.
Sumber: FB Steven Sim Chee Keong
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.