Berita

Dari Penyanyi Ke Pentas Epik, Aisha Retno Sah Jadi Puteri Gunung Ledang. Tahniah!

Share

Penyanyi dan komposer berbakat, Aisha Retno kini melakar satu lagi pencapaian besar dalam karier seninya apabila dipilih sebagai salah seorang pemegang watak utama bagi Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026.

Aisha bakal menggalas karakter ikonik Gusti Putri Retno Dumilah menerusi pementasan berskala besar yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.

Pemilihan Dilakukan Dengan Penuh Teliti

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasmi PGLM, pihak produksi memaklumkan pemilihan Aisha dibuat secara teliti demi memastikan legasi karya tersebut terus relevan untuk generasi baharu.

“Untuk pementasan baharu PGLM ini, kami bukan sahaja mahu menghargai legasi Puteri Gunung Ledang (PGL), tetapi juga masa depannya.

“Buat pertama kali, dua puteri dan dua Bayan (pembantu) akan menghidupkan dunia ini. Ini suatu keputusan yang dibuat dengan penuh kasih sayang, teliti dan dengan harapan untuk memastikan kelangsungan watak ikonik ini buat generasi akan datang,” menurut kenyataan tersebut.

Produksi turut menyifatkan Aisha sebagai seorang artis yang memiliki suara penuh emosi dan aura lembut namun kuat, sekali gus sesuai untuk membawa karakter legenda berkenaan.

Dalam masa sama, pihak produksi memaklumkan seorang lagi pelakon yang bakal memegang watak Gusti Putri Retno Dumilah akan diumumkan kemudian.

Aisha Retno Anggap Ia Impian Jadi Kenyataan

Menerusi platform Threads, Aisha turut meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang menghidupkan watak ikonik tersebut.

“Alhamdulillah! Akan ku galas tanggungjawab ini sebagai PGL Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah di PGL The Musical.

“Learning, learning and learning. This is one of my dreams that’s coming true, mashaAllah,” tulisnya.

Sebelum ini, Aisha pernah secara terbuka menyatakan hasrat untuk terlibat dalam

Puteri Gunung Ledang The Musical dan menganggap peluang tersebut sebagai impian yang dipendam sejak kecil.

Barisan Pelakon Turut CurI Tumpuan

Sebelum pengumuman Aisha, produksi terlebih dahulu memperkenalkan beberapa pelakon lain yang bakal menjayakan pementasan tersebut.

Antaranya termasuk Mimi Fly dan Nadia Aqilah yang dipilih membawa watak Bayan iaitu pembantu setia puteri.

Sementara itu, Luqman Hafidz diamanahkan memegang watak Sultan Melaka manakala Yusuf Hashim pula membawa karakter Gusti Adipati.

Kelainan turut diperkenalkan apabila produksi memilih dua pelakon untuk watak Puteri Gunung Ledang serta dua pemegang watak Bayan bagi pementasan kali ini.

Legasi PGL Terus Diteruskan

Pemilihan Aisha dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkenalkan generasi baharu ke pentas teater muzikal berskala besar, selain menyuntik nafas segar kepada karya ikonik tersebut.

Watak Puteri Gunung Ledang sebelum ini cukup sinonim dengan Tiara Jacquelina yang mencipta fenomena sejak pementasan pertama pada tahun 2006.

Malah, karya tersebut terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara naskhah teater paling berpengaruh dalam industri seni persembahan tempatan.

Terdahulu, Puteri Gunung Ledang merupakan adaptasi daripada filem epik terbitan tahun 2004 sebelum diangkat ke pentas teater dan menerima sambutan luar biasa daripada penonton.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath